(Foto AFP)
GENEVA, 7 Februari- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran hampir 23 juta orang mungkin terjejas akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Mereka memerlukan bantuan jangka panjang.
Pegawai kecemasan kanan WHO, Adelheid Marschang berkata banyak infrastruktur awam dan kesihatan rosak di seluruh wilayah yang terjejas.
"Peta gambaran keseluruhan menunjukkan hampir 23 juta orang mungkin terjejas berikutan bencana alam tersebut.
"Infrastruktur awam dan kesihatan telah rosak di seluruh wilayah yang terjejas, terutama di Turkiye dan barat laut Syria," katanya kepada jawatankuasa eksekutif WHO, di sini.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pula memakkumkan, bantuan segera sedang dihantar ke kawasan terjejas.
"Kami menggerakkan bekalan kecemasan dan telah mengaktifkan rangkaian pasukan perubatan kecemasan WHO untuk menyediakan penjagaan kesihatan khusus bagi mereka yang cedera dan paling terdedah," katanya semasa berucap pada mesyuarat khas mengenai tragedi itu.
(Tedros Adhanom Ghebreyesus/Foto Reuters)
Ghebreyesus turut berikrar bahawa pertubuhan antarabangsa itu akan bekerja rapat dengan semua rakan kongsi untuk menyokong pihak berkuasa di kedua-dua negara dalam masa kritikal dan hari-hari mendatang.
Ini untuk kedua-dua negara pulih dan membangun semula.-AFP