TEGUCIGALPA, 6 Disember - Honduras masih belum menentukan pemenang pilihan raya presiden selepas keputusan kekal rapat antara dua calon konservatif.
Salah seorang daripadanya disokong secara terbuka oleh bekas Presiden AS, Donald Trump.
Majlis Pilihan Raya Kebangsaan (CNE) melaporkan Nasry Asfura daripada Parti Nasional (PN) memperoleh 40.20%, manakala Salvador Nasralla daripada Parti Liberal (PL) mendapat 39.47%.
Jurang tipis itu menjadikan keputusan masih tidak dapat ditentukan, termasuk kira-kira 2,000 kertas undi bermasalah yang perlu disemak semula.
Nasralla menuduh wujud cubaan penipuan dalam kemasukan data ke sistem pilihan raya dan mendakwa “dunia sedang bercakap tentang penipuan terhadap Parti Liberal.”
Beliau turut mempersoalkan keupayaan CNE untuk menyiapkan keputusan sebelum tarikh akhir pada 30 Disember.
Asfura, bekas Datuk Bandar Tegucigalpa, berkata beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan, sambil menegaskan kestabilan negara mengatasi kepentingan peribadi.
Dalam pada itu, Trump sebelum ini secara terbuka menyokong Asfura, dan menyifatkannya sebagai “rakan kebebasan” selain menuduh Nasralla berpura-pura antikomunis.
Beliau turut memberi amaran akan sekiranya keputusan pilihan raya“diubah”.
Trump kebelakangan ini semakin lantang menyokong sekutu politiknya di rantau itu, termasuk mengancam memotong bantuan sekiranya calon pilihannya tidak memenangi pilihan raya.
Honduras merupakan antara negara paling miskin dan bergolak di Amerika Latin, mendorong ramai rakyatnya melarikan diri ke AS. - AFP