fb fb fb fb fb

17 maut dalam insiden rusuhan di Iran

(Foto AFP)

PARIS, 23 September- Sekurang-kurangnya 17 orang maut dalam rusuhan yang tercetus berhubung kematian dalam tahanan wanita Kurdish Mahsa Amini, media tempatan melaporkan.

Amini beumur 22 tahun, meninggal dunia minggu lalu selepas ditahan oleh polis moral yang digeruni republik Islam itu kerana didakwa memakai tudung dengan cara yang tidak wajar. Berita kematian itu mencetuskan kemarahan orang ramai.

Menerusi rakaman video yang telah tersebar secara meluas memaparkan penunjuk perasaan menjerit dan melaungkan kata-kata "mati kepada diktator, wanita, hidup, kebebasan" ketika Iran menghadapi gelombang demonstrasi terbesar dan menggegarkan negara dalam tempoh hampir tiga tahun.

Beberapa wanita Iran telah membakar tudung mereka dan secara simbolik memotong rambut mereka sebagai protes terhadap kod berpakaian yang ketat, bergema dalam demonstrasi perpaduan dari New York ke Istanbul.

Menurut media tempatan, angka kematian rasmi meningkat kepada sekurang-kurangnya 17, termasuk lima anggota keselamatan.


(Gambar diperoleh AFP di luar Iran menunjukkan penunjuk perasaan membakar tong sampah dan berhimpun di Tehran/AFP) 

Bagaimanapun, Hak Asasi Manusia Iran (IHR), sebuah NGO yang berpangkalan di Oslo, berkata ia telah mengira sekurang-kurangnya 31 kematian orang awam.

"Rakyat Iran telah berhimpun untuk mencapai hak asasi mereka dan maruah manusia dan kerajaan bertindak balas terhadap bantahan aman mereka dengan peluru," kata Pengarah IHR, Mahmood Amiry-Moghaddam.

Pasukan keselamatan telah melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan menggunakan gas pemedih mata dan semburan air, kata Amnesty International dan kumpulan hak asasi manusia yang lain.

Sementara itu, agensi berita rasmi, IRNA melaporkan penunjuk perasaan telah membaling batu ke arah mereka, membakar kereta polis dan melaungkan slogan anti kerajaan.

Selain itu, belum pernah berlaku sebelum ini, penunjuk perasaan juga merosakkan atau membakar imej pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei dan mendiang komander Pengawal Revolusi Qasem Soleimani.

Semalam, pihak berkuasa menahan dua jurugambar wanita, Niloufar Hamedi, dari akhbar reformis Shargh, dan Yalda Moayeri, yang bekerja untuk akhbar tempatan, serta aktivis Mohammad-Reza Jalaipour, menurut media Iran.

Hossein Ronaghi telah ditangkap ketika dia sedang ditemubual menerusi Iran International, sebuah saluran televisyen yang berpangkalan di London.

Wujud kebimbangan keganasan terus meningkat selepas Iran menyekat akses internet dan menyekat aplikasi termasuk WhatsApp dan Instagram, seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Kedua-dua aplikasi itu adalah yang paling banyak digunakan di Iran selepas pihak berkuasa menyekat platform lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk Facebook dan Twitter.- AFP

Media Baharu