fb fb fb fb fb

13 maut, 20 cedera dalam kes tembakan di sekolah di bandar Izhevsk, Rusia

(Gambar dikeluarkan Jawatankuasa Penyiasatan Rusia menunjukkan mayat lelaki bersenjata
di sekolah di Izhevsk. Angka kematian meningkat kepada 13 orang,
termasuk tujuh kanak-kanak,kanak/Jawatankuasa Penyiasatan Rusia / AFP)


MOSCOW, 26 September- Angka kematian meningkat kepada 13 orang, termasuk tujuh kanak-kanak dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah di bandar Izhevsk di tengah Rusia, kata penyiasat Isnin.

Serangan itu adalah yang terbaharu dalam siri tembakan di sekolah yang menggegarkan Rusia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan negara itu bergelut dengan peperangan di Ukraine.

“Tiga belas orang, termasuk enam dewasa dan tujuh kanak-kanak, terbunuh kerana jenayah ini,” kata Jawatankuasa Penyiasatan Rusia dalam satu kenyataan, sambil menambah 14 kanak-kanak dan tujuh dewasa cedera.

Pihak berkuasa sebelum ini mengumumkan angka kematian sembilan orang tetapi tidak menyatakan sama ada itu termasuk suspek penembak.

Penyiasat berkata dua pengawal keselamatan dan dua guru adalah antara mangsa, sambil menambah bahawa penyerang "membunuh diri".

Menurut penyiasat, "dia memakai baju hitam dengan simbol Nazi dan balaclava" dan tidak membawa sebarang ID.

Gabenor wilayah Alexander Brechalov mengesahkan terdapat korban dan mangsa cedera dalam kalangan kanak-kanak, katanya dalam satu rakaman video di luar sekolah di Izhevsk.

Kelihatan anggota penyelamat dan perubatan di tempat krejadian masuk ke dalam kawasan sekolah dengan pengusung kecemasan.

Kementerian kesihatan Rusia berkata 14 pasukan ambulans di tempat kejadian untuk membantu mangsa yang cedera, lapor agensi berita.

Brechalov mengisytiharkan tempoh berkabung di rantau itu sehingga Khamis.

(Gambar dikeluarkan oleh Jawatankuasa Penyiasatan Rusia menunjukkan penyiasat
memeriksa mayat suspek lelaki bersenjata yang disyaki melakukan serangan tembakan/AFP) 


Izhevsk sebuah bandar dengan 630,000 penduduk ialah ibu kota wilayah Republik Udmurt Rusia, terletak sekitar 1,000 kilometer (620 batu) di timur Moscow.

Serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas seorang lelaki melepaskan tembakan dan mencederakan seorang pegawai pengambilan pekerja di pusat pendaftaran di Siberia.

Kejadian tembak di sekolah kali terakhir berlaku di Rusia adalah pada April membabitkan seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah tadika di wilayah Ulyanovsk tengah, menyebabkan seorang guru dan dua kanak-kanak maut.

Penembak, yang disifatkan sebagai "sakit mental", kemudian ditemui mati, dilaporkan menembak dirinya sendiri.- AFP

Media Baharu