fb fb fb fb fb

100 orang dipenjarakan atas serangan balai polis di Vietnam

Beberapa orang terbunuh dan cedera dalam tembakan di dua ibu pejabat polis di Tanah Tinggi Tengah Vietnam/ REUTERS

HANOI, 20 Januari- Vietnam telah memenjarakan hampir 100 orang atas tuduhan keganasan berhubung serangan tembakan ke atas ibu pejabat polis yang menyebabkan sembilan orang terbunuh, kata media kerajaan hari ini.

Penyerang bermotosikal menyerbu balai polis dan pejabat politik di wilayah Dak Lak pada Jun tahun lalu dalam insiden keganasan yang jarang berlaku di Vietnam dikuasai komunis.

Pada akhir perbicaraan lima hari di penjara di mana tertuduh telah ditahan, 10 defendan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup manakala 90 yang lain dijatuhi hukuman penjara antara sembilan bulan hingga 20 tahun, lapor VNExpress.

Mengikut pertuduhan, 98 orang didakwa melakukan keganasan, satu menyembunyikan penjenayah dan satu berhubung isu pendatang tanpa izin.

Mereka yang berusia antara 18 hingga 56 tahun adalah daripada kumpulan etnik minoriti yang berasal dari Central Highlands.

Enam defendan sedang dalam pelarian dan dibicarakan tanpa kehadiran. Waran tangkap antarabangsa telah dikeluarkan untuk mereka.

VNExpress memetik keputusan itu berkata bahawa defendan telah menyertai kumpulan Dega Askar pada awal Jun 2023, berkumpul di dalam hutan untuk latihan separa tentera, termasuk seni mempertahankan diri dan membuat bom.

"Kes itu amat serius... dengan pengganas berniat untuk menggulingkan negeri, untuk menubuhkan negara Dega," menurut VNExpress.

Mahkamah memutuskan bahawa kebanyakan defendan melakukan jenayah kerana mereka "kurang kefahaman", menyalahkan kumpulan reaksioner yang berpangkalan di AS kerana cuba mengancam atau memaksa mereka untuk melakukan serangan.

Dega adalah salah satu kumpulan etnik minoriti dari Tanah Tinggi Tengah Vietnam iaitu kawasan yang telah lama diperdebat kerana isu hak tanah.

Pihak berkuasa komunis merujuk kepada pengikut Protestantisme di Central Highlands sebagai "Dega Protestant" — kumpulan yang mencari autonomi daripada negeri dan dikaitkan dengan buangan politik Montagnard di Amerika Syarikat.

Montagnards - nama kolektif untuk pelbagai puak di kawasan itu - memihak kepada selatan yang disokong AS semasa perang Vietnam selama beberapa dekad.

Ada juga yang meminta lebih banyak autonomi, sementara yang lain di luar negara menyokong kemerdekaan untuk rantau ini.

Selepas kejadian maut itu, polis berkata mereka merampas sejumlah 23 senjata api dan senapang, dua bom tangan serta lebih 1,000 peluru dan bahan letupan lain.

Individu tidak dibenarkan memiliki senjata api di Vietnam dan insiden keganasan senjata api adalah amat jarang berlaku. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI