fb fb fb fb fb

100 cedera protes pelajar berhubung kuota pekerjaan di Bangladesh

Foto AFP

DHAKA, 16 Julai- Sekurang-kurangnya 100 orang cedera apabila pelajar dari kumpulan bersaing bergaduh di Bangladesh, hari ini, kata pihak polis.

Pertempuran berlaku antara penunjuk perasaan yang menentang sistem kuota untuk pekerjaan kerajaan dan penyokong parti pemerintah, Awami League, di kampus Universiti Dhaka.

Polis dan saksi berkata ratusan penunjuk perasaan anti kuota dan pelajar penyokong Awami League bertempur selama beberapa jam, membaling batu, bergaduh dengan kayu dan memukul satu sama lain dengan batang besi. Beberapa daripada mereka membawa parang manakala yang lain membaling bom petrol.

Sistem kuota tersebut memperuntukkan lebih daripada separuh jawatan perkhidmatan awam yang bergaji tinggi kepada kumpulan tertentu, termasuk anak-anak pejuang perang pembebasan negara itu pada 1971 daripada Pakistan.

“Mereka bertempur dengan kayu dan membaling batu antara satu sama lain,” kata ketua balai polis tempatan, Mostajirur Rahman kepada AFP.

Masud Mia, seorang inspektor polis, berkata, “kira-kira 100 pelajar termasuk wanita, cedera dan telah dibawa ke hospital.

“Lebih ramai yang sedang datang,” tambah Mia.

Pelajar melancarkan protes awal bulan ini menuntut sistem berasaskan merit. Mereka terus berprotes walaupun mahkamah tertinggi Bangladesh menggantung skim kuota tersebut.

Para penunjuk perasaan menyalahkan pelajar parti pemerintah atas keganasan tersebut.

“Mereka menyerang perarakan kami dengan batang besi, kayu dan batu,” kata Nahid Islam, penyelaras kebangsaan protes anti kuota, kepada AFP.

Pengkritik berkata sistem itu memberi manfaat kepada kanak-kanak kumpulan prokerajaan yang menyokong Perdana Menteri, Sheikh Hasina.

Hasina, 76, memenangi pilihan raya umum keempat berturut-turut pada Januari, dalam undian tanpa parti pembangkang.

Bangladesh adalah salah satu negara termiskin di dunia apabila mencapai kemerdekaan pada tahun 1971, tetapi ia telah berkembang secara purata lebih daripada enam peratus setiap tahun sejak 2009.

Tetapi kebanyakan pertumbuhan itu adalah di belakang tenaga kerja kilang yang kebanyakannya wanita yang menjanakan industri eksport pakaian, dan pakar ekonomi berkata terdapat krisis pekerjaan yang teruk bagi berjuta-juta pelajar universiti. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI