NEW YORK, 2 September- Kira-kira 10,000 pekerja hotel di Amerika Syarikat (AS) melancarkan mogok di beberapa bandar sejak semalam selepas rundingan kontrak kerja dilihat menemui jalan buntu.
Rundingan itu membabitkan pengendali hotel Marriott International, Hilton Worldwide dan Hyatt, menurut pihak kesatuan.
Unite Here yang mewakili pekerja di hotel, kasino serta lapangan terbang di AS dan Kanada, berkata ribuan pekerja dari 24 hotel menyertai mogok di beberapa destinasi pelancongan utama termasuk di San Francisco serta San Diego di California; ibu kota Hawaii, Honolulu; Boston; Seattle; dan bandar Greenwich di Connecticut.
Selain itu, pekerja dari bandar-bandar lain turut bersedia untuk menyertai mogok terbabit memandangkan cuti sempena Hari Pekerja.
Menurut data tempahan AAA, mogok itu berlaku ketika industri berdepan peningkatan sembilan peratus berbanding tahun lalu bagi perjalanan domestik pada cuti hujung minggu Hari Pekerja.
Kesatuan itu dalam satu kenyataan memaklumkan mogok berkenaan juga sudah diluluskan dan boleh bermula pada bila-bila masa di Baltimore, New Haven, Oakland serta Providence.
Pekerja dan pengusaha hotel kini bergelut untuk mencapai persetujuan berhubung kadar gaji serta mengatasi isu yang berbangkit berikutan langkah pengurangan kakitangan ketika pandemik COVID-19 sebelum ini.
Unite Here berkata kekurangan pekerja hotel menyaksikan pihak pengurusan kerap mengerah tiga kakitangan untuk melakukan tugas yang sepatutnya dipikul empat orang.
Situasi itu sekali gus membawa kepada tekanan tidak wajar dan tumpuan lebih diberikan kepada aspek kepantasan berbanding perkhidmatan.
"Sejak COVID-19, mereka mengharapkan kami memberi perkhidmatan bertaraf lima bintang dalam keadaan tenaga kerja tiga bintang," kata kesatuan itu yang memetik seorang kakitangan sebuah hotel di San Francisco.
Pekerja pembersihan hotel di Baltimore menuntut gaji mereka dinaikkan kepada AS$20 sejam berbanding kadar AS$16.20 ketika ini.
Di Boston di mana pekerja pembersihan hotel mendapat upah AS$28 sejam, kesatuan itu berusaha mendapatkan kenaikan sebanyak AS$10 sejam menjelang akhir empat tahun lagi.
Hilton dan Hyatt berkata, mereka tetap komited merundingkan perjanjian yang adil dengan kesatuan itu.
Ketua perhubungan pekerja Hyatt, Michael D'Angelo, dalam satu kenyataan pula berkata pihal hotel berkenaan mempunyai pelan kontingensi untuk meminimumkan kesan ke atas operasinya yang berkaitan potensi aktiviti mogok.
Bagaimanapun, Marriott belum memberi sebarang komen, setakat ini.
Mogok itu diadakan ketika kira-kira 40,000 pekerja hotel yang bernaung bawah kesatuan Unite Here di 20 bandar, berdepan kontrak yang akan tamat pada tahun ini.
Rundingan untuk kontrak empat tahun yang baharu telah berlangsung sejak Mei lalu, dengan kira-kira 15,000 daripada pekerja terbabit dibenarkan menyertai mogok dalam 12 pasaran.
"Kami tidak akan menerima 'norma baharu' di mana syarikat hotel mengaut keuntungan dengan mengurangkan tawaran kepada pelanggan serta mengabaikan komitmen mereka terhadap pekerja," kata Presiden Unite Here, Gwen Mills. - REUTERS