CARACAS, 25 Oktober - Tentera Venezuela berikrar tidak akan membenarkan mana-mana pihak menubuhkan kerajaan yang berpihak kepada terutamanya Amerika Syarikat, yang cuba menggulingkan Presiden Nicolas Maduro, kata Menteri Pertahanan Vladimir Padrino pada Jumaat.
“Tak kira bagaimana anda mentafsirnya, pihak tentera tidak akan membenarkan kerajaan yang tunduk kepada kepentingan Amerika Syarikat wujud di sini,” tegas Padrino dalam siaran televisyen negara.
Beliau menyifatkan kehadiran ketenteraan Amerika di Caribbean sebagai ancaman kepada kedaulatan negaranya.
“Kami bukan lagi hamba. Venezuela adalah negara bebas,” katanya.
Pentagon sebelum itu mengumumkan penempatan kumpulan kapal pengangkut pesawat di rantau Amerika Latin untuk membanteras penyeludupan dadah, satu langkah yang dianggap Caracas sebagai persediaan untuk rampasan kuasa.
“Ini ancaman ketenteraan paling besar dalam tempoh 100 tahun terakhir,” kata Padrino.
“Kami tidak mahu perang, kami mahukan keamanan", ujarnya.
Amerika Syarikat kini sudah mempunyai beberapa kapal tentera laut dan pesawat pejuang di rantau tersebut, dengan serangan ke atas bot yang didakwa membawa dadah telah meragut lebih 40 nyawa dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pada Ogos lalu, Washington meningkatkan ganjaran kepada AS$50 juta (RM237 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan Maduro, yang turut berdepan tuduhan menipu dalam pilihan raya tahun lalu. -AFP