
NEW YORK, 9 September – Frances Tiafoe bangkit daripada ketinggalan dua set dan kedudukan 0-3 pada set penentuan untuk menewaskan Alex Michelsen dalam aksi suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.
- Tiafoe menewaskan Michelsen 5-7, 3-6, 7-5, 6-3, 7-6 (10-6) untuk mara ke separuh akhir Terbuka AS ketiga kali dalam lima tahun.
- Michelsen, yang belum kalah set sebelum ini, hampir menang tiga set tetapi dua servis berganda pada set ketiga menukar arus perlawanan.
- Perlawanan selama empat jam 38 minit disudahi tiebreak 10-6; Tiafoe akan berdepan sama ada Carlos Alcaraz atau Ben Shelton.
Pemain tuan rumah yang juga pilihan ke-11 itu menundukkan Michelsen, 5-7, 3-6, 7-5, 6-3, 7-6 (10-6) untuk mara ke separuh akhir di Flushing Meadows buat kali ketiga dalam tempoh lima tahun.
Tiafoe terpaksa bekerja keras untuk menyingkirkan rakan senegaranya yang lebih muda itu, yang sebelum ini tidak kehilangan satu set pun dalam kempennya ke suku akhir Grand Slam buat kali pertama dalam kariernya.
Michelsen, 22, hampir mencatat kemenangan dalam tiga set apabila melakukan servis untuk menamatkan perlawanan pada kedudukan 5-4 set ketiga.
Namun, dua kesilapan servis berganda membuka ruang buat Tiafoe, sebelum pemain lebih berpengalaman itu mengambil kesempatan untuk menguasai permainan.
“Saya rasa saya sendiri yang menyerahkan kemenangan itu kepadanya,” kata Michelsen, pemain ranking ke-46 dunia, yang jelas kecewa.
“Selepas itu, dia (Tiafoe) mula bermain dengan sangat baik, ” katanya.
Tiafoe memerlukan dua set lagi sebelum melakukan pukulan ‘forehand’ kemenangan untuk menoktahkan ‘tie-break’ penentuan 10 mata selepas pertarungan selama empat jam 38 minit.
Tiafoe seterusnya akan berdepan sama ada juara bertahan, Carlos Alcaraz atau pilihan kelapan, Ben Shelton yang juga rakan senegaranya.
“Saya sudah memenangi banyak perlawanan hebat di sini. Saya juga pernah tewas dalam banyak perlawanan sengit di sini. Jadi, rasanya sangat luar biasa dapat melakukannya kali ini,” kata Tiafoe. – AFP