
SHAH ALAM, 20 Januari – Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) kini berada dalam fasa akhir persiapan sebagai venue Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor yang akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.
- Persiapan fokus pada penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan untuk acara bola sepak dan lawan pedang.
- Hasil penggunaan kemudahan sedia ada hanya menampung penyelenggaraan, bukan naik taraf menyeluruh.
- UiTM sedang cari sumber kewangan tambahan termasuk peruntukan khas kementerian untuk naik taraf kemudahan.
- Transformasi lengkap termasuk penggantian trek kepada trek sintetik moden dan pembinaan trek 10,000 langkah serta gimnasium terbuka.
Stadium berkenaan akan menjadi lokasi bagi acara bola sepak dan lawan pedang dengan persiapan kini tertumpu kepada kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan kemudahan sedia ada.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, tempoh yang ada turut dimanfaatkan sebagai peluang penjanaan dana, memandangkan sumber kewangan universiti bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.
Beliau berkata, hasil penjanaan melalui penggunaan kemudahan sedia ada hanya mencukupi untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan tidak melibatkan naik taraf secara menyeluruh.
“Buat masa ini, usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti sumber kewangan tambahan, termasuk kemungkinan mendapatkan peruntukan khas daripada kementerian bagi menaik taraf sebahagian kemudahan lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Trek Sintetik Stadium UiTM, malam tadi.
Menurut Prof Datuk Dr Shahrin, UiTM turut meneliti penambahbaikan kemudahan sukan lain termasuk padang hoki serta beberapa kemudahan dalam kampus Shah Alam.
“Antara inisiatif lain yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan trek 10,000 langkah di seluruh kampus Shah Alam yang telah mendapat kelulusan, serta cadangan pembangunan kemudahan gimnasium terbuka di sekitar laluan trek tersebut,” katanya.
Stadium UiTM ditutup pada 19 Februari tahun lepas bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf menyeluruh.
Transformasi itu melibatkan penggantian permukaan trek sedia ada kepada trek sintetik baharu yang lebih moden, selamat, tahan lasak dan memenuhi keperluan semasa untuk aktiviti latihan serta penganjuran kejohanan bertaraf tinggi.