Siri Golf Amatur Kebangsaan cungkil bakat baharu

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 12 Februari –Penganjuran Siri Golf Amatur Kebangsaan 2026 bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform membina sahsiah dan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain muda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siri Golf Amatur Kebangsaan 2026 membina sahsiah dan mencungkil bakat muda melalui pengalaman kompetitif.
  • Penganjuran dianggap tanggungjawab sosial korporat yang memberi pulangan kepada masyarakat.
  • Perkembangan golf membuka peluang kepada generasi baharu walaupun dulu dianggap sukan eksklusif.
  • Acara antarabangsa di Desaru dijangka merancakkan pelancongan dan limpahan ekonomi negara.

Pengerusi penganjur, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata sokongan terhadap sukan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat yang memberi pulangan kepada masyarakat.

Menurut beliau, sukan mempunyai nilai tersendiri dalam membentuk disiplin, daya tahan serta semangat juang yang tinggi dalam diri seseorang atlet.

“Apabila anak-anak muda menyertai kejohanan seperti ini, mereka bukan sahaja bersaing, tetapi belajar memperbaiki diri, mengurus tekanan dan membina karakter. Itu nilai sebenar sukan,” katanya pada Majlis Pelancaran Media Siri Golf Amatur Kebangsaan 2026.

Tambahnya, berbanding sukan berpasukan, pendekatan menyokong pemain individu memberi ruang pembangunan yang lebih fokus, khususnya dalam membantu bakat muda menyerlah di peringkat lebih tinggi.

Golf yang suatu ketika dahulu dianggap sukan eksklusif dan mahal, kini semakin berkembang seiring pertambahan padang serta penyertaan generasi baharu.

Dalam masa sama, penganjuran siri itu dilihat berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada negara, khususnya menerusi penyertaan antarabangsa.

Selain itu, kejohanan di Desaru dijangka menarik penyertaan pemain dari kira-kira 40 negara.

Kehadiran peserta serta pegawai pengiring bukan sahaja memeriahkan saingan, malah menyumbang kepada sektor pelancongan dan perkhidmatan tempatan.

“Apabila peserta antarabangsa hadir, mereka bukan sekadar bertanding. Mereka melancong, berbelanja dan mempromosikan negara secara tidak langsung,” jelasnya.

Siri Golf Amatur Kebangsaan 2026 dijangka menjadi antara acara penting dalam kalendar sukan negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi sukan dan pelancongan serantau.