Sebastian Korda rangkul gelaran ketiga ATP di Delray Beach

Bintang tenis Amerika Syarikat, Sebastian Korda/REUTERS

FLORIDA, 23 Februari – Bintang tenis lelaki Amerka Syarikat (AS), Sebastian Korda meraih gelaran ketiga Jelajah ATP dalam kariernya selepas menewaskan pilihan kelima, Tommy Paul 6-4, 6-3 dalam aksi akhir menyaksikan pertembungan senegara di Delray Beach pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebastian Korda raih gelaran ATP ketiga dengan kemenangan 6-4, 6-3 ke atas rakan senegara Tommy Paul di Delray Beach.
  • Korda tunjuk konsistensi, kawal permainan dari garisan belakang dan selamatkan lima daripada enam mata break.
  • Kemenangan ini tandakan kebangkitan prestasi Korda dan kukuhkan statusnya sebagai pemain Amerika menyerlah musim ini.

Korda, 25, menampilkan aksi konsisten meskipun terpaksa berdepan bermain dalam keadaan angin kencang.

Korda berjaya mengawal permainan dari garisan belakang serta menyelamatkan lima daripada enam mata ‘break’ sepanjang perlawanan.

Detik mendebarkan hadir pada permainan terakhir apabila Korda bangkit daripada ketinggalan 0-40, menyelamatkan empat mata ‘break’ sebelum menafikan peluang Paul dan menamatkan perlawanan dalam tempoh satu jam 22 minit.

Kejayaan itu hadir pada aksi akhir pertamanya selepas lebih setahun.

Kemenangan itu sekali gus menandakan kebangkitan semula prestasinya di pentas utama.

Dalam laluan meraih gelaran, Korda menewaskan tiga daripada lima pilihan utama kejohanan.

Beliau berjaya menyingkirkan pilihan kedua, Casper Ruud di suku akhir sebelum menewaskan pilihan ketiga, Flavio Cobolli di separuh akhir.

Sementara itu, lawannya, Paul yang sebelum ini dibelenggu kecederaan termasuk koya ligamen kaki dan ketegangan otot abdomen tahun lalu turut beraksi dalam perlawanan akhir pertamanya sejak dinobatkan sebagai juara di Stockholm pada 2024.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Korda sebagai antara pemain Amerika yang semakin menyerlah dalam saingan ATP musim ini. – AFP