Salah aset besar mana-mana kelab – San Diego FC

Penyerang Mohamed Salah menjaringkan sepakan penalti ketika aksi Liga Juara-Juara UEFA antara Liverpool FC dan Galatasaray di Anfield pada 18 Mac lalu/Foto AFP

RINGKASAN BERITA AI
  • Mansour berkata Salah antara pemain terbaik dunia; kehadirannya memberi impak besar kepada mana-mana pasukan atau liga.
  • Salah mengumumkan akan meninggalkan Anfield selepas sembilan tahun, dengan rekod 255 gol serta pelbagai trofi.
  • Arab Saudi dianggap destinasi utama, namun Salah turut dikaitkan dengan MLS Amerika Syarikat termasuk San Diego FC.
  • Mansour enggan mengesahkan usaha mendapatkan Salah dan menegaskan keputusan perpindahan terletak pada pengurusan teknikal kelab.
Penyerang Mohamed Salah menjaringkan sepakan penalti ketika aksi Liga Juara-Juara UEFA antara Liverpool FC dan Galatasaray di Anfield pada 18 Mac lalu/Foto AFP

ATLANTA, 27 Mac – Pemilik kelab bola sepak San Diego FC, Mohamed Mansour, menyifatkan bintang Mesir, Mohamed Salah, sebagai aset berharga kepada mana-mana pasukan di tengah spekulasi mengenai destinasi baharu pemain itu selepas meninggalkan Liverpool FC.

Mansour berkata Salah merupakan antara pemain terbaik dunia ketika ini dan kehadirannya mampu memberi impak besar kepada mana-mana kelab atau liga yang disertainya.

“Beliau antara pemain terbaik ketika ini dan mana-mana pasukan yang mendapatkannya pasti memperoleh nilai tambah yang besar,” katanya kepada AFP di luar sidang kemuncak Business of Soccer di sini.

Salah sebelum ini mengumumkan akan meninggalkan Anfield pada penghujung musim ini selepas sembilan tahun bersama Liverpool, dengan rekod 255 gol serta pelbagai trofi termasuk Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Walaupun Arab Saudi dilihat sebagai destinasi utama, pemain itu turut dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, termasuk ke San Diego FC yang baharu menyertai liga berkenaan.

Mansour bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada pihaknya sedang berusaha mendapatkan Salah, sambil menegaskan keputusan perpindahan pemain terletak di tangan pengurusan teknikal kelab.

“Sebagai rakyat Mesir, saya amat bangga dengan pencapaiannya. Ke mana sahaja beliau pergi, pasti akan memberi sumbangan besar kepada pasukan dan liga,” katanya.

San Diego FC yang dimiliki Mansour dilaporkan mencipta rekod sebagai pasukan pengembangan dengan kutipan mata tertinggi musim lalu, selain kini kekal tanpa kalah dalam saingan Persidangan Barat MLS. – AFP