Sabah FC ikat empat import baharu hadapi baki saingan Liga Super 2025/2026

Sabah FC ikat import baharu hadapi baki saingan Liga Super 2025/2026.

KOTA KINABALU, 4 Februari – Sabah FC mengikat empat pemain import baharu bagi memperkuat pasukan dalam menghadapi baki saingan Liga Super musim 2025/2026 dan MFL Challenge Cup.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sabah FC mengikat empat pemain import baharu untuk memperkuat pasukan menghadapi baki Liga Super 2025/2026 dan MFL Challenge Cup.
  • Kesemua import terdiri daripada gabungan pengalaman dan bakat muda: penyerang, pemain tengah dan pertahanan serba boleh.
  • Pemain menyatakan keazaman dan keselesaan bersama Sabah, dengan motivasi untuk cabaran baharu dan sumbangan taktikal kepada pasukan.

Pemain import berkenaan ialah Chris Marlon Ondong-Mba, penyerang dari Perancis yang juga mampu beraksi di posisi sayap; Belfort Kervensfils, penyerang dari Haiti; Duje Ljubic, pemain tengah dari Croatia; dan pemain pertahanan berdarah Thailand-Sepanyol, Ernesto Amantegui Phumipha.

Ondong menyifatkan keputusan menyertai skuad The Rhinos sebagai satu langkah penting dalam karier profesionalnya, selain peluang membuka lembaran baharu bagi cabaran bola sepak di Asia.

Beliau berkata meskipun menerima beberapa tawaran lumayan untuk kembali beraksi di Eropah, keinginan untuk terus menguji kemampuan diri di Asia mendorongnya memilih Sabah FC sebagai destinasi seterusnya.

“Saya meninggalkan Eropah dengan kejayaan dan bagi saya, kejayaan di Asia juga sama penting. Saya seorang pemain yang hidup dengan cabaran setiap hari,” katanya dalam temu bual dikongsikan Sabah FC di sini hari ini.

Mengenai peranan bersama Sabah FC, beliau menyifatkan dirinya pemain versatil yang mampu beraksi sebagai penyerang atau pemain sayap, sekali gus memberi lebih banyak pilihan taktikal kepada pasukan.

Sementara itu, Phumipha pula mengakui berasa selesa dan baik ketika pertama kali bermain dengan Sabah.

“Penyokong memberikan banyak motavasi walaupun perlawanan sebelum ini tidak begitu ramai yang hadir di stadium. Saya masih dapat merasakan sokongan mereka dan ia baik untuk saya serta pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, dengan pengalaman luas beraksi di luar negara kehadiran Kervensfils diyakini dapat membantu memperkuat Sabah FC, kelab kedua beliau dalam kancah Liga Malaysia kerana sebelum ini pernah menyertai Kelantan FC bagi musim 2021/2022.

Sebelum menyertai Sabah, pemain itu sempat mewakili kelab Lalitpur City untuk beraksi dalam Liga Nepal bagi musim 2024/2025.

Baru berusia 21 tahun, pemain tengah dari Croatia yang sebelum ini beraksi bersama NK Hrvace, Ljubic diyakini mampu membawa semangat muda, disiplin taktikal serta potensi besar untuk berkembang bersama pasukan.

Gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda ini mencerminkan perancangan rapi pihak pengurusan Sabah FC dalam membina pasukan yang lebih seimbang dan kompetitif.- BERNAMA