
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada atlet judo negara, Amir Daniel, atas kejayaannya menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara judo di Sukan Komanwel.
- Perdana Menteri menyifatkan kejayaan Amir sebagai bukti disiplin dan keazaman mampu membuahkan hasil bermakna untuk negara.
- Amir Daniel, 21, melakar sejarah menjuarai kategori bawah 81 kilogram di Scottish Event Campus.
- Beliau menewaskan Timothy Meuwsen dengan waza-ari menggunakan teknik kata-guruma dalam pertarungan selama empat minit.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada Ahad, Perdana Menteri menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti bahawa disiplin dan keazaman yang tinggi mampu membuahkan hasil yang cukup bermakna buat negara.
“Tahniah Amir Daniel kerana menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam acara judo di Sukan Komanwel!
“Saudara membuktikan bahawa usaha, disiplin dan semangat juang mampu mencipta sejarah. Kita semua bangga!,” menurut hantaran berkenaan.
Terdahulu, Amir Daniel, 21, melakar sejarah baharu sukan tanah air selepas menjuarai kategori bawah 81 kilogram (kg) lelaki dalam aksi akhir yang berlangsung di Scottish Event Campus (SEC), awal pagi tadi.
Anak jati Pulau Pinang itu berjaya menewaskan wakil Afrika Selatan, Timothy Meuwsen menerusi kutipan mata waza-ari dengan menggunakan teknik kata-guruma dalam pertarungan akhir yang berlangsung selama empat minit.
Kejayaan Amir Daniel itu bukan sahaja menjadi emas sulung buat acara judo, sekali gus merupakan pingat emas kelapan buat kontinjen Malaysia sepanjang temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 setakat ini.