
KUALA TERENGGANU, 7 April– Terengganu Hockey Team (THT) kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi untuk mempertahankan kejuaraan dalam saingan Piala Sumbangsih TNB yang dijadualkan berlangsung pada 11 April ini.
- THT gabungkan pemain baharu dan kekalkan tonggak utama untuk memperkuat prestasi pasukan menghadapi saingan musim ini.
- Mohd Hafizi yakin THT mampu beri saingan sengit kepada TNB ThunderStars walau lawan miliki ramai pemain kebangsaan berpengalaman.
- THT turut perkenalkan pasukan hoki wanita Terengganu yang akan beraksi dalam saingan musim baharu.
Perlawanan pembuka tirai Liga Hoki Malaysia (MHL) itu bakal menyaksikan THT tampil dengan gabungan barisan pemain baharu serta pengekalan beberapa tonggak utama pasukan bagi memastikan trofi tersebut kekal dalam dakapan mereka.
Jurulatih THT, Mohd Hafizi Baharom menyuarakan keyakinan bahawa anak buahnya mampu memberikan saingan sengit, terutamanya kepada pencabar utama, TNB ThunderStars.
Pasukan lawan tersebut kini menjadi tumpuan susulan penyertaan barisan pemain kebangsaan berpengalaman bagi saingan musim ini.
“Itu adalah kelebihan pasukan TNB kerana kita tahu mereka mempunyai ramai pemain kebangsaan yang berpengalaman. Namun, kami di THT tidak akan menyerah kalah, tambahan pula perlawanan ini berlangsung di laman sendiri. Insya-Allah, kami akan memberikan aksi terbaik,” kata Mohd Hafizi.
Nada optimis turut dikongsi Ketua Pasukan THT, Mohammad Fitri Saari, yang menyifatkan status sebagai tuan rumah perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap pemain.
“Sudah tentu bermain di tempat sendiri memberikan kelebihan buat THT. Dengan sokongan padu penyokong, kami sebagai pemain perlu lebih bersemangat dan melakukan yang terbaik. Itu adalah perkara paling penting bagi kami,” jelas beliau.
Selain memperkenalkan skuad lelaki, THT turut memperkenalkan pasukan hoki wanita Terengganu yang akan menggalas cabaran dalam mengharungi saingan musim baharu ini.