Piala Raja Sepanyol: Real Madrid diaibkan kelab divisyen dua

Pemain Real Madrid, Vinicius Junior cuba melepasi Javier Moreno dari Albacete dalam aksi Pusingan 16 Piala Raja Sepanyol di Stadium Carlos Belmonte, Sepanyol/Foto REUTERS

MADRID, 15 Januari – Ketua Jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa memulakan tugas sulungnya dengan kekalahan apabila skuad kendaliannya tewas mengejut 2-3 kepada Albacete dalam pusingan 16 terbaik Piala Raja Sepanyol, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Alvaro Arbeloa kalah pada debutnya sebagai ketua jurulatih selepas Madrid tewas 2-3 kepada Albacete dalam Pusingan 16 Piala Raja.
  • Real Madrid tanpa Kylian Mbappe dan beberapa pemain utama bergelut menentang kelab divisyen dua yang kini berada di tangga ke-17.
  • Jefte Betancor menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menyingkirkan juara Eropah 15 kali itu.

Arbeloa yang menggantikan Xabi Alonso pada Isnin lalu menyaksikan pasukannya tersingkir menerusi jaringan masa kecederaan oleh Jefte Betancor di Stadium Carlos Belmonte.

Tanpa Kylian Mbappe dan beberapa pemain utama, Madrid bergelut menentang pasukan divisyen kedua yang kini berada di tangga ke-17 liga.

Albacete mendahului menerusi Javi Villar sebelum Franco Mastantuono menyamakan kedudukan untuk Madrid sejurus sebelum rehat.

Jefte kembali meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-82 sebelum Gonzalo Garcia menyamakan kedudukan pada minit ke-91.

Namun, Jefte sekali lagi muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menyingkirkan juara Eropah 15 kali itu.

Presiden kelab, Florentino Perez melantik Arbeloa selepas Madrid tewas kepada Barcelona dalam final Piala Super Sepanyol, Ahad lalu. – AFP