Penganjuran Sukan SEA dan Para SEA 2027, tuntut persediaan yang lebih menyeluruh

Pencapaian pada Sukan SEA dan Para SEA Thailand merupakan petunjuk awal tahap kesediaan negara menjelang penganjuran Sukan SEA dan Para SEA 2027/Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Januari – Pencapaian pasukan negara pada Sukan SEA dan Para SEA Thailand dilihat sebagai petunjuk awal tahap kesediaan Malaysia menjelang penganjuran Sukan SEA dan Para SEA 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu usaha luar biasa dan persediaan menyeluruh dalam 18 bulan sebelum Sukan SEA dan Para SEA 2027.
  • Sasaran 30–35% pingat emas menuntut strategi berfokus untuk jadi juara keseluruhan tuan rumah.
  • Kerjasama kementerian, badan sukan, jurulatih dan institusi untuk perancangan realistik dan sokongan sains sukan.

Pengalisis sukan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, kejayaan mengutip 57 pingat emas pada Sukan SEA dan 64 pingat emas dalam Para SEA membuktikan kemampuan atlet negara untuk bersaing di peringkat serantau, namun masih belum mencukupi untuk menjamin status juara keseluruhan sebagai tuan rumah.

“Memperlihatkan keadaan tersebut kita memerlukan satu usaha yang sangat luar biasa dalam persediaan kita yang berbaki dalam 18 bulan lagi untuk sukan sea 2027,” katanya.

Menurut beliau, secara purata 30 hingga 35 peratus daripada keseluruhan pingat emas perlu dimenangi bagi memastikan kejayaan dalam temasya Asia Tenggara, sekali gus menuntut persediaan yang lebih menyeluruh dan strategik.

“Memperlihatkan skop yang lebih luas adakah atlet-atlet yang mencapai pingat emas di Sukan Sea dan Sukan Para Sea ini mampu memperlihatkan prestasi yang lebih baik untuk Sukan Asia di Nagoya dan Sukan Komanwel Scotland.

”Kita harap atlet-atlet mampu menunjukan prestasi yang sangat luar biasa dan melihatkan peningkatan mereka untuk mereka layak ke Sukan Olimpik 2028 nanti,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa tahun 2027 merupakan tempoh kritikal, kerana menjadi fasa kelayakan atlet ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, sekali gus memerlukan perancangan jangka sederhana yang tersusun, berfokus dan realistik.

Sehubungan itu, beliau berpandangan Kementerian Belia dan Sukan, bersama pemegang taruh utama termasuk Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara perlu berganding bahu merangka pelan persediaan yang komprehensif.

Pada masa sama, atlet negara digesa terus berlatih secara konsisten, berdisiplin dan bersistematik, dengan sokongan jurulatih, pakar sains sukan serta kerjasama institusi pengajian tinggi, bagi memastikan peningkatan prestasi berterusan dan seterusnya mengharumkan nama negara di pentas dunia.