Pemain muda rebut peluang serlah bakat di Junior Tour Kedah

FOTO RTM

SINTOK, 2 April – Penganjuran Kejohanan Kedah Tennis Malaysia Junior Tour 2026 (Siri 2) di Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi medan terbaik buat atlet muda negara memanaskan badan menjelang kejohanan kebangsaan pada Jun dan Disember depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan membuka peluang kenal pasti bakat baru dan persaingan kompetitif untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi termasuk kejohanan ASEAN bagi bawah 14 dan 16.
  • Kejohanan sebahagian daripada tiga siri jelajah junior kebangsaan untuk meningkatkan mata ranking pemain muda.
  • Penganjuran berskala besar mampu perkukuh pembangunan tenis remaja Kedah dan meluaskan akses sukan dalam kalangan pemain muda.
  • Lebih 250 pemain bawah 12, 14 dan 16 lelaki dan perempuan bersaing, dengan pemain Sarawak dan Pulau Pinang mencuri tumpuan.

Presiden Persatuan Lawn Tennis Malaysia (LTAM), Mirzan Tun Mahathir berkata, platform itu bukan sahaja menyediakan persaingan kompetitif, malah membuka ruang untuk mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, kejohanan berkenaan julung kali diadakan di Kedah dengan penggunaan fasiliti tenis bertaraf kebangsaan di Kompleks Sukan UUM.

“Pemain yang menyerlah dalam kejohanan kebangsaan berpeluang melangkah ke pentas antarabangsa termasuk kejohanan anjuran ASEAN Tennis Federation bagi kategori bawah 14 dan 16 tahun,” katanya.

Kejohanan itu merupakan sebahagian daripada tiga siri jelajah junior kebangsaan (SportExcel) yang bertujuan meningkatkan mata ranking pemain muda negara.

Sementara itu, Presiden Persatuan Tenis Kedah, Dr. Salek Munhar menyifatkan penganjuran berkenaan sebagai langkah penting dalam memperkukuh pembangunan tenis remaja di negeri itu.

Beliau berkata, kejohanan berskala besar seperti itu mampu menarik perhatian ramai selain merancakkan lagi usaha memperluaskan akses sukan tenis dalam kalangan pemain muda.

Seramai 250 pemain menyertai kejohanan lima hari bermula 31 Mac itu, melibatkan kategori bawah 12, 14 dan 16 tahun lelaki serta perempuan.

Bagi kategori bawah 14 dan 16 tahun, atlet dari Sarawak dan Pulau Pinang antara yang mencuri tumpuan untuk merebut pingat.

Pemain bawah 14 tahun, Mason Jairus Ho berharap dapat muncul juara dalam kejohanan seterusnya termasuk saingan di Pulau Pinang.

“Saya akan cuba buat yang terbaik untuk dapatkan pingat,” katanya.

Manakala pemain bawah 16 tahun, Ryoga Khoo turut memasang sasaran untuk meraih pingat dalam acara beregu.

“Saya harap dapat bawa pulang pingat dalam acara beregu,” katanya.

Dalam pada itu, cuaca panas tidak menghalang pemain untuk terus mempamerkan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.

Bagi peserta bawah 12 tahun, Raessa Ashwad mengakui teruja dapat beraksi dalam kejohanan tersebut, lebih-lebih lagi berpeluang menimba pengalaman daripada pemain lebih berpengalaman.

“Saya rasa seronok dapat main dalam kejohanan ini dan belajar daripada pemain lain,” katanya.

Seorang lagi pemain, Sulaiman Zahrin berharap dapat mara hingga ke peringkat akhir meskipun mengakui cuaca panas sedikit mengganggu persembahannya.

Sementara itu, Maximus Ferhad hanya mahu memberikan aksi terbaik tanpa terlalu memikirkan keputusan.

“Harapan saya cuma nak main dengan baik. Kalau menang itu bonus,” katanya.

Kejohanan Kedah Tennis Malaysia Junior Tour 2026 dijadual berakhir Sabtu ini.

Presiden LTAM, Mirzan Tun Mahathir