
MONTERREY, 30 Ogos – Pemain Perancis, Diane Parry, meraih gelaran perseorangan WTA pertama dalam kariernya selepas menewaskan pilihan kedua, Elise Mertens dari Belgium, 6-4, 0-6, 6-3 pada final Terbuka Monterrey, pada Sabtu.
- Menjadikan persiapan terbaik menjelang Terbuka Amerika Syarikat yang bermula Isnin.
- Perlawanan beralun: Parry mendahului awal, Mertens bangkit menyamakan, Parry ambil alih semula.
- Parry mengambil masa perubatan ketika ketinggalan 0-5, kemudian kekal tenang menutup perlawanan.
- Gelaran amat bermakna selepas enam kali tewas di separuh akhir, Parry kini akan menentang Viktorija Golubic.
Kemenangan itu menjadi persiapan terbaik buat Parry menjelang Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang bermula Isnin.
Parry, 23 tahun , bermula baik apabila mendahului 4-1 pada set pertama sebelum Mertens, 30 tahun, bangkit menyamakan kedudukan 4-4.
Namun, Parry kembali menguasai permainan untuk memenangi dua game terakhir dan mengambil set pertama 6-4.
Mertens bangkit pada set kedua apabila memenangi enam game berturut-turut untuk menang 6-0 dan mengikat perlawanan.
Parry yang ketinggalan 0-5 turut mengambil masa perubatan sebelum meneruskan permainan.
Pada set penentuan, Parry kembali menyerang dan mendahului 5-1.
Mertens cuba bangkit dengan memenangi dua game berikutnya, tetapi Parry kekal tenang untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 6-3 dalam perlawanan yang berlangsung selama dua jam 31 minit itu.
Kejayaan tersebut amat bermakna buat Parry selepas dia sebelum ini gagal memenangi enam perlawanan separuh akhir di peringkat WTA.
Ia juga menjadi gelaran WTA pertama pemain muda itu selepas beberapa kali hampir mara ke final.
Parry kini akan mengalihkan perhatian kepada Terbuka AS apabila dia dijadual menentang pemain Switzerland, Viktorija Golubic, pada pusingan pertama Isnin ini. – REUTERS