Palestin desak FIFA lindungi hak bola sepak, kecam tindakan Israel

Skuad kebangsaan Palestin

VANCOUVER, 30 April – Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), Jibril Rajoub akan menggunakan pentas Kongres FIFA hari ini bagi menggesa badan induk bola sepak dunia itu memberi “perlindungan” terhadap Palestin susulan tindakan agresif Israel yang didakwa menjejaskan pembangunan sukan negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komuniti sukan antarabangsa mesti bertindak supaya sukan bebas daripada campur tangan politik dan rakyat Palestin mendapat hak yang sama.
  • Israel dituduh menikmati sukan sementara menafikan hak asasi sukan kepada rakyat Palestin.
  • Situasi bola sepak di Gaza pada tahap kritikal; semua infrastruktur musnah atau tidak boleh digunakan.
  • PFA memfailkan rayuan ke CAS selepas FIFA gagal mengenakan sekatan ke atas kelab di penempatan haram Tebing Barat.

Rajoub berkata, sukan seharusnya bebas daripada campur tangan politik dan komuniti sukan antarabangsa perlu membuat keputusan tepat bagi memastikan rakyat Palestin mendapat hak sama seperti negara lain.

“Sudah tiba masanya untuk komuniti antarabangsa, keluarga sukan dunia, FIFA dan pihak berkaitan membuat keputusan sewajarnya untuk melindungi kami serta membolehkan kami bersukan seperti dinikmati masyarakat lain di seluruh dunia.

“Israel tidak berhak menikmati sukan di satu pihak, tetapi pada masa sama menafikan hak asasi sama kepada rakyat Palestin,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PFA, Susan Shalabi menyifatkan situasi bola sepak Palestin terutama di Gaza berada pada tahap kritikal apabila semua infrastruktur bola sepak sama ada musnah atau tidak lagi boleh digunakan.

PFA sebelum ini memfailkan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan FIFA yang tidak mengenakan sekatan ke atas Israel berhubung kelab berpangkalan di penempatan haram Tebing Barat.

Menurut Rajoub, tindakan undang-undang itu diambil selepas pelbagai gesaan kepada FIFA untuk bertindak tidak mendapat respons sewajarnya.

Beliau turut menegaskan pembinaan tembok pemisah antara politik dan sukan penting demi manfaat sejagat, termasuk menjelang penganjuran Piala Dunia, agar sukan terus menjadi medium penyatuan dunia, bukan alat perpecahan politik.-REUTERS