
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Pasukan olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) kini memasuki fasa akhir persiapan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, dengan sasaran empat pingat emas.
- Latihan berpusat memberi tumpuan persiapan pasukan dan latihan relay sebelum masuk penginapan.
- Muhammad Ruzki Alimi, 19, membuat penampilan sulung SUKMA dengan sasaran memenangi pingat acara individu.
- SUKMA Selangor 2026 berlangsung 15 hingga 24 Ogos; acara olahraga di Stadium UPM Serdang 16 hingga 20 Ogos.
Jurulatih pasukan itu, Kwong Ka Jun berkata, latihan berpusat kini memberi tumpuan kepada persiapan pasukan sebelum memasuki fasa penginapan.
“Kita tengah jalankan latihan berpusat, termasuk latihan relay sebelum masuk penginapan. Setakat ini, semuanya berjalan baik dan kita harap yang terbaik untuk minggu depan,” katanya ketika ditemui RTM.
Bagi atlet berusia 19 tahun, Muhammad Ruzki Alimi, penampilan sulung di pentas SUKMA menjadi peluang untuk menguji kemampuan diri dengan sasaran meraih pingat dalam acara individu.
“Ini SUKMA kali pertama saya, jadi memang teruja dan seronok. Sasaran saya untuk dapat pingat pada penampilan sulung di kejohanan ini.
“Untuk acara 110 meter lari berpagar, saya sasarkan pingat dan mahu membaiki catatan daripada 14.2 kepada 13.9 saat,” jelasnya.
SUKMA Selangor 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala acara olahraga dijadual berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dari 16 hingga 20 Ogos ini.