SRAM akui misi pertahan tiga emas lebih mencabar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mengakui misi untuk mengulangi pencapaian gemilang tiga pingat emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bakal berdepan cabaran lebih mencabar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persaingan dijangka lebih sengit daripada India, Pakistan dan tuan rumah Jepun.
  • SRAM tidak menetapkan sasaran pingat spesifik; fokus pada kesiapsiagaan optimum setiap atlet.
  • Persediaan melibatkan latihan teknikal dan ketahanan mental tinggi untuk menguruskan tekanan dan mempertahankan reputasi selepas Hangzhou 2022.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Andrew Cross berkata, edisi kali ini dijangka menyaksikan persaingan sengit susulan peningkatan prestasi mendadak daripada negara pesaing, terutama India, Pakistan dan tuan rumah, Jepun.

Meskipun barisan pemain negara menunjukkan prestasi konsisten, SRAM mengambil pendekatan untuk tidak meletakkan sasaran pingat secara spesifik buat masa ini.

Sebaliknya, fokus utama badan induk itu adalah memastikan setiap atlet mencapai tahap kesiapsiagaan optimum sebelum temasya tersebut membuka tirainya pada 19 September 2026.

“Persediaan kali ini bukan sahaja melibatkan aspek teknikal, malah menuntut ketahanan mental yang tinggi bagi menguruskan tekanan apabila berdepan lawan di pentas Asia.

“Ia bukan satu tugas yang mudah untuk mengulangi apa yang telah kita capai beberapa tahun lalu, tetapi itulah yang sedang kami cuba lakukan dan itulah yang kami mahukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di sini baru-baru ini.

Terdahulu, skuad skuasy negara mencipta fenomena pada Sukan Asia Hangzhou 2022 dengan membawa pulang tiga pingat emas.

Kejayaan itu meletakkan harapan tinggi di bahu pemain, namun dengan kebangkitan kuasa besar skuasy Asia yang lain, skuad negara perlu bekerja lebih keras bagi mempertahankan reputasi berkenaan di bumi Aichi-Nagoya nanti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.