
KUALA LUMPUR, 27 Februari – Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) mengintai khidmat jurulatih luar negara bagi memperkukuh program pelapis dalam usaha memastikan kesinambungan prestasi menjelang temasya utama termasuk Sukan SEA 2027.
- Mencari jurulatih asing profesional untuk menguatkan program pelapis dan bantu jurulatih serta atlet sedia ada.
- Sudah ada jurulatih Korea Selatan untuk skuad podium; fokus kini pada struktur pembangunan pelapis jangka panjang.
- Persiapan menyeluruh untuk Sukan Komanwel 2026, Sukan Asia 2026 dan Sukan SEA 2027 termasuk atlet, kejurulatihan dan peralatan.
- Keputusan tumpuan acara berpotensi menang untuk raih lebih emas, dengan MSN memberi sokongan walau bajet belum dimuktamadkan.
Setiausaha Eksekutif NSAM Mejar (B) Jasni Shaari berkata pihaknya sedang meneliti calon yang bersesuaian namun belum memutuskan negara asal jurulatih berkenaan.
“Kami sudah ada seorang jurulatih tempatan untuk pelapis tetapi kami perlukan seorang jurulatih profesional (asing) untuk bantu jurulatih sedia ada dan atlet kita.
“Ini pendedahan baharu dan Majlis Sukan Negara (MSN) juga setuju kami perlu belajar daripada jurulatih asing yang baik,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) 2026 di MSN di sini hari ini.
Beliau berkata bagi skuad podium, badan induk itu ketika ini sudah memiliki dua jurulatih dari Korea Selatan dan tumpuan kini terarah kepada pengukuhan struktur pembangunan pelapis bagi menjamin kesinambungan prestasi jangka panjang.
Dalam pada itu, Jasni berkata persiapan atlet negara menghadapi Sukan Komanwel 2026, Sukan Asia 2026 dan Sukan SEA 2027 dirancang secara menyeluruh merangkumi aspek atlet, kejurulatihan serta peralatan.
Beliau berkata pencapaian empat pingat emas, satu perak dan lapan gangsa pada Sukan SEA 2025 menjadi indikator positif bahawa skuad menembak negara berada di landasan tepat untuk terus menyumbang pingat.
“Kami akan tumpukan kepada acara yang berpotensi untuk menang supaya dapat lebih banyak emas khususnya pada Sukan SEA 2027,” katanya.
Sementara itu, Jasni berkata NSAM masih menaruh harapan agar jaguh negara Johnathan Wong mampu melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028 berdasarkan prestasi semasanya.
Jasni ketika menyentuh soal peruntukan berkata MSN memberi lampu hijau terhadap perancangan persatuan setakat ini walaupun jumlah keseluruhan bajet tahunan belum dimuktamadkan. – BERNAMA