
KUALA LUMPUR, 27 Februari – Malaysia akan memberikan sepenuh usaha dalam mendapatkan slot bagi acara menembak di Sukan Olimpik 2028.
- Malaysia fokus mendapatkan slot menembak untuk Sukan Olimpik 2028 melalui persiapan dan sasaran atlet berpotensi.
- Persatuan memberi keutamaan kepada acara yang berpotensi dimenangi memandangkan prestasi skuad kini baik.
- Jonathan disasarkan layak mendapatkan kuota berdasarkan prestasi terbaiknya dan strategi terperinci disusun.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia, Mejar (B) Jasni Shaari menyatakan mereka akan memberi fokus terhadap sukan yang mampu dimenangi kerana skuad menembak negara berada pada prestasi yang baik ketika ini.
“Pertama, persiapan untuk atlet menghadapi kejohanan. Yang kedua kita ada beberapa penembak dan ada kemungkinan kita mendapat tempat atau kuota untuk Olimpik.
“Kita sasar Jonathan layak dapat kuota memandangkan dari segi persembahannya, dialah yang terbaik untuk dapat kuota berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) antara Persatuan Menembak Kebangsaan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.
Jasni berharap skuad negara dapat meraih slot Olimpik ekoran prestasi atlet yang memberangsangkan sepanjang Sukan SEA 2025.
“Daripada pencapaian atlet baru-baru ini di Sukan SEA, kita dapat empat emas, satu perak dan lapan gangsa. Ada kemungkinan perak boleh jadi emas, gangsa boleh jadi perak atau emas.
“Malah peluang untuk dapat pingat, terutamanya Sukan SEA 2027 nanti, cerah,” katanya.
Beliau menekankan penyusununan strategi yang terperinci untuk meningkatkan lagi prestasi skuad menembak negara ke Sukan Olimpik.