Neuer umum bersara selepas Piala Dunia 2026

foto AFP

NORTH CAROLINA, 20 Jun – Penjaga gol veteran Jerman, Manuel Neuer mengumumkan bahawa Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada kali ini akan menjadi kejohanan utama terakhir buat dirinya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Neuer tidak merancang untuk bermain di Euro 2028.
  • Beliau sifatkan penyertaan Piala Dunia sebagai hadiah dan mahu menjadi sebahagian daripada pasukan.
  • Beliau berundur pada 2024 dan anggap itu keputusan tepat kerana beban meneruskan dua tahun terakhir.
  • Dipilih mengejutkan oleh Nagelsmann selepas prestasi cemerlang separuh musim bersama Bayern, mengatasi Oliver Baumann.

Pemain berusia 40 tahun itu membuat kenyataan tersebut menjelang perlawanan kedua Jerman menentang Ivory Coast pada Sabtu, sekali gus tampil buat kali ke-126 untuk pasukan kebangsaan Jerman.

“Saya tidak rancang untuk bermain dua tahun lagi di Euro 2028.

“Ia satu hadiah untuk berada di sini (Piala Dunia). Saya sangat ingin menjadi sebahagian daripada pasukan,” kata penjaga gol Bayern Munich itu dalam satu sidang media.

Neuer, pemenang Piala Dunia 2014 dan beraksi buat kali kelima berturut-turut sebagai penjaga gol utama Jerman, telah bersara selepas Jerman tersingkir pada peringkat suku akhir Euro 2024 di laman sendiri.

Beliau merupakan pilihan yang mengejutkan dalam skuad jurulatih Julian Nagelsmann selepas mempamerkan prestasi cemerlang pada separuh kedua musim bersama Bayern Munich.

“Saya berundur pada tahun 2024 atas alasan yang kukuh. Bagi saya, itu keputusan yang tepat.

“Adalah terlalu membebankan bagi saya untuk terus bermain dengan pasukan kebangsaan sepanjang dua tahun terakhir.

“Saya telah menerima hakikat bahawa ini adalah perlawanan terakhir bersama Jerman. Saya mahu menantikan semua perlawanan yang bakal dimainkan, bukannya memikirkan sebarang majlis perpisahan,” katanya.

Neuer dipilih mengatasi Oliver Baumann, yang sebelum ini telah dinamakan sebagai penjaga gol utama untuk kejohanan tersebut.

Jerman membuka kempen Piala Dunia Kumpulan E dengan kemenangan besar 7-1 ke atas Curacao. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.