
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) memutuskan terdapat asas mencukupi untuk meneruskan prosiding disiplin terhadap pasukan Thailand berhubung insiden pada perlawanan akhir acara berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026, Mei lepas.
- Lima pemain regu ketiga Thailand, dua jurulatih dan seorang pengurus dituduh enggan meneruskan perlawanan menentang Malaysia.
- Jawatankuasa meneliti laporan rasmi pegawai, aduan Persatuan Sepak Takraw Malaysia, rakaman video dan representasi Persatuan Sepak Takraw Thailand.
- Surat pertuduhan rasmi akan dikeluarkan hari ini dan semua lapan individu diberi 14 hari untuk mengemukakan jawapan bertulis.
- Tujuh pemain regu pertama dan kedua diberi amaran keras serta dikehendaki menandatangani komitmen; TAT diminta memohon maaf secara terbuka.
Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader menerusi kenyataan hari ini berkata prosiding itu melibatkan lima pemain regu ketiga Thailand yang didakwa enggan meneruskan perlawanan menentang Malaysia selain dua jurulatih dan seorang pengurus pasukan yang didakwa mengarahkan, menyokong atau gagal menghalang tindakan itu.
Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat secara dalam talian semalam selepas jawatankuasa meneliti laporan rasmi pegawai pertandingan, aduan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), rakaman video serta representasi daripada Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT).
“Jawatankuasa Disiplin berpandangan isu ini perlu ditangani secara tegas dan adil demi memelihara integriti, disiplin serta masa depan sukan sepak takraw di pentas antarabangsa, khususnya dalam usaha memastikan sukan ini terus kekal dipertandingkan dalam temasya besar seperti Sukan Asia Nagoya 2026 dan Sukan Asia Doha 2030,” katanya.
Abdul Halim berkata surat pertuduhan rasmi akan dikeluarkan selewat-lewatnya hari ini dengan kesemua lapan individu terlibat diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan jawapan bertulis terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Selepas tempoh tersebut, beliau berkata Jawatankuasa Disiplin akan meneruskan pendengaran dan membuat keputusan berdasarkan keterangan serta bukti yang dikemukakan mengikut Perlembagaan serta Peraturan ISTAF.
Selain itu, Abdul Halim berkata Jawatankuasa Disiplin memutuskan tujuh pemain Thailand daripada Regu Pertama dan Regu Kedua yang turut berada di kawasan gelanggang semasa insiden tersebut diberikan amaran keras kerana didapati melakukan tindakan yang boleh dianggap sebagai provokasi.
Mereka juga dikehendaki menandatangani satu komitmen menghormati keputusan pegawai perlawanan, mematuhi Perlembagaan serta Peraturan ISTAF, tidak terlibat tindakan menjejaskan kelancaran pertandingan serta memelihara semangat kesukanan dan fair play dalam semua kejohanan antarabangsa.
“Dalam pada itu, TAT juga akan diminta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada komuniti sepak takraw antarabangsa dan penonton atas insiden itu yang jelas tidak mencerminkan semangat kesukanan yang menjadi asas kepada sukan ini,” katanya.
Final regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 pada 23 Mei dicemari kontroversi selepas Thailand menarik diri sebagai membantah keputusan pengadil, dengan Malaysia kemudiannya diisytiharkan menang 2-1. -BERNAMA