Piala Dunia: Ivory Coast mampu cipta kejutan terhadap Jerman

foto AFP

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Aksi tumpuan Kumpulan E Piala Dunia 2026 antara Jerman dengan Ivory Coast dijangka menyajikan pertembungan menarik apabila kedua-dua pasukan memiliki pendekatan permainan yang berbeza dalam usaha memburu kemenangan penting.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jerman tetap pilihan berdasarkan reputasi, pengalaman dan kualiti pemain, tetapi masih berdepan ancaman Ivory Coast.
  • Ivory Coast dijangka tampil agresif dengan tekanan tinggi dan transisi pantas mampu mencipta kejutan.
  • Jerman jangka menguasai bola, gaya permainan berubah, keputusan boleh terkejut jika Ivory Coast manfaatkan transisi.

Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully berpandangan pasukan Jerman tetap hadir sebagai pasukan pilihan berdasarkan reputasi, pengalaman dan kualiti pemain yang dimiliki, namun memberi amaran bahawa Ivory Coast berpotensi mencipta kejutan.

Menurutnya, wakil Afrika itu dijangka tampil agresif dengan corak tekanan tinggi dan permainan transisi pantas yang mampu menguji benteng pertahanan Jerman.

“Di atas kertas Jerman mempunyai kelebihan dari semua sudut dan kita tidak boleh menidakkan keupayaan Ivory Coast walaupun mereka bukan pasukan yang berada di ranking tinggi.

“Tetapi saya rasa permainan akan berbeza kerana Ivory Coast akan menyerang dan membuat tekanan kepada Jerman. Bagi Jerman, corak permainan mereka bukan seperti dulu, ia sudah berubah secara menyeluruh,” Katanya.

Richard menjelaskan kekuatan utama Ivory Coast terletak pada keupayaan melakukan transisi pantas daripada bertahan kepada menyerang, selain kebolehan mencipta gol ketika melancarkan serangan balas.

Beliau percaya aspek itu mampu menjadi senjata utama pasukan berkenaan untuk menembusi pertahanan Jerman yang dijangka menguasai bola.

“Saya percaya Ivory Coast tidak boleh bertahan dalam defensif blok. Mereka mempunyai keunikan untuk membuat transisi daripada bertahan ke posisi menyerang,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun menjangkakan Jerman masih mempunyai kelebihan untuk membawa pulang tiga mata, namun tidak menolak kemungkinan perlawanan itu menghadirkan keputusan di luar jangkaan sekiranya Ivory Coast berjaya memanfaatkan kekuatan transisi mereka dengan berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.