
KUALA LUMPUR, 23 Mac – Pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli kekal positif terhadap prestasinya pada aksi Moto3 GP Brazil meskipun terlepas peluang menaiki podium.
- Menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 di Litar Goiania.
- Perlumbaan dihentikan selepas kemalangan, disambung semula sebagai pecut lima pusingan yang mengubah corak saingan.
- Kedudukan ke-10 memberikan enam mata pertama musim ini selepas kosong di GP Thailand.
- Bermula di petak hadapan dan berada dalam kedudukan kompetitif sebelum perlumbaan dihentikan.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya, beliau menyifatkan perlumbaan kali ini juga membuktikan satu peningkatan yang positif.
“Minggu ini agak baik untuk saya dengan banyak peningkatan yang ditunjukkan. Saya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10, namun secara jujur saya yakin mampu mencatat keputusan lebih baik.
“Saya akan kekalkan momentum ini menjelang perlumbaan seterusnya di Austin. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong,” kata beliau.
Dalam perlumbaan di Litar Autodromo Internacional de Goiania itu, Hakim Danish menamatkan saingan di tempat ke-10 selepas aksi dramatik yang menyaksikan bendera merah dikibarkan susulan kemalangan.
Perlumbaan kemudian disambung semula dalam format pecut lima pusingan, sekali gus mengubah corak persaingan dan menjejaskan peluang pelumba untuk mengekalkan rentak asal.
Namun, kedudukan ke-10 yang diraih pelumba berusia 18 tahun itu tetap memberikan enam mata pertama musim ini, sekali gus menjadi tonik terbaik selepas gagal mengutip mata pada aksi pembukaan di GP Thailand.
Sebelum perlumbaan dihentikan, beliau dilihat berpotensi mencabar kelompok podium selepas bermula di petak hadapan dan berada dalam kedudukan kompetitif.
Dalam pada itu, pelumba Sepanyol, Maximo Quiles muncul juara selepas menewaskan rakan sepasukan, Marco Morelli dengan kelebihan tipis 0.143 saat.
Sementara itu, Veda Pratama mencipta sejarah apabila muncul pelumba Indonesia pertama menaiki podium Grand Prix selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.