Medvedev tempah slot ke final di Dubai

Aksi pemain tenis Rusia, Daniil Medvedev ketika perlawanan separuh akhir menentang Felix Auger-Aliassime dari Kanada di Kejohanan Tenis Dubai/ REUTERS

DUBAI, 28 Februari – Daniil Medvedev mara ke final Kejohanan Tenis Dubai selepas menewaskan pilihan utama, Felix Auger-Aliassime 6-4, 6-2 dalam aksi separuh akhir, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Medvedev mara ke final Dubai selepas menewaskan Felix Auger-Aliassime 6-4, 6-2 dalam separuh akhir.
  • Perlawanan berlangsung dalam 83 minit, membuka peluang gelaran kedua Medvedev di Dubai.
  • Medvedev belum tewas set dalam kejohanan, selepas menewaskan beberapa lawan termasuk Wawrinka dan Brooksby.
  • Menanti beliau di final ialah pemain bukan pilihan, Tallon Griekspoor, yang menewaskan Andrey Rublev.

Bekas pemain nombor satu dunia itu hanya memerlukan 83 minit untuk menundukkan pemain Kanada berkenaan, sekali gus membuka peluang meraih gelaran kedua di Dubai selepas kejayaan pada tahun 2023.

Jika berjaya menjulang trofi, Medvedev akan pertama kali memenangi kejohanan yang sama sebanyak dua kali sepanjang karier cemerlangnya yang menyaksikan beliau meraih 22 gelaran di 22 kejohanan berbeza.

Pemain pilihan ketiga itu hadir ke Dubai dengan misi menebus kekecewaan selepas tersingkir awal di Rotterdam dan Doha, namun mempamerkan aksi mantap dengan menewaskan Shang Juncheng, Stan Wawrinka, Jenson Brooksby serta Auger-Aliassime tanpa kehilangan sebarang set.

Menanti Medvedev di pentas final ialah pemain bukan pilihan, Tallon Griekspoor.

Pemain Belanda itu meneruskan aksi cemerlangnya apabila menewaskan pilihan kelima, Andrey Rublev 7-5, 7-6(6) dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Griekspoor menafikan hasrat juara 2022 itu untuk kembali merebut trofi Dubai, termasuk menyelamatkan dua mata set dalam ‘tie-break’ set kedua sebelum mengesahkan kemenangan. -REUTERS