
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) bakal menjemput beberapa atlet karate bertaraf dunia dari Eropah dan Amerika Syarikat untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.
- MAKAF akan menjemput atlet karate bertaraf dunia dari Eropah dan Amerika Syarikat untuk latihan bersama di Bukit Jalil.
- Latihan berfasa di bawah penyelarasan jurulatih baharu dianggap lebih murah, ekonomik dan berkesan berbanding menghantar atlet ke luar negara.
- Skuad negara akan menyertai Kejohanan Senior Asia di Bali dan Series A di Sepanyol sebagai persediaan sebelum latihan tertutup.
Ia sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, pada September ini.
Menurut Timbalan Presiden MAKAF, Datuk Chen Chee Hong, pendekatan tersebut lebih efektif dan menjimatkan berbanding menghantar atlet ke luar negara.
Jelas beliau, langkah tersebut juga mampu memberikan peluang kepada lebih ramai atlet kebangsaan merasai pengalaman latihan berintensiti tinggi di Bukit Jalil.
“Kami minta beberapa kem latihan berprestasi tinggi di Bukit Jalil dan ia telah mendapat sokongan Majlis Sukan Negara.
“Ini juga adalah cara paling murah, ekonomik dan berkesan,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Bukit Jalil, hari ini.
Chee Hong berkata program latihan itu akan dilaksanakan secara berfasa bawah penyelarasan konsultan baharu pasukan Andris Vasiļevskis bersama barisan kejurulatihan lain.
Beliau berkata pemilihan atlet jemputan dibuat secara teliti dengan mengambil kira padanan kategori, berat badan, ketinggian, kepantasan dan kekuatan bagi memastikan keberkesanan latihan serta memenuhi keperluan skuad.
Dalam pada itu, skuad negara turut dijadual menyertai Kejohanan Senior Asia di Bali pada Julai serta saingan Series A di Sepanyol sebelum menjalani latihan tertutup pada Ogos dan awal September.
Pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, skuad karate negara meraih satu pingat emas dan dua perak.