LTdL dijangka kembali September 2026, tunggu kelulusan kabinet

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Januari– Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) sah kekal berada dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan status 2.Pro dan dijangka berlangsung pada September 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • LTdL kekal dalam kalendar UCI sebagai acara 2.Pro dan dijangka dianjurkan pada September 2026.
  • Kertas cadangan penganjuran 2026 dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan peruntukan kerajaan.
  • MOTAC terus kekal sebagai antara penaja utama, meneruskan kerjasama dengan KBS.
  • MSN bersedia mengambil alih penganjuran jika perlu; keputusan muktamad bergantung pada kelulusan kabinet.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata permohonan penganjuran LTdL bagi edisi 2026 dan seterusnya akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menurut beliau, kertas cadangan tersebut turut merangkumi aspek penganjuran memandangkan ia melibatkan peruntukan kewangan yang besar daripada kerajaan.

“Dalam kertas kerja itu, kita turut memasukkan aspek penganjuran. Justeru, beri sedikit masa, sekitar dua hingga tiga minggu, untuk kertas tersebut dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Sebaik keputusan diperoleh, barulah kita dapat membuat pengumuman kerana ia melibatkan peruntukan yang besar.”

“Kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan RM12 juta bagi penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi 2023, 2024 dan 2025. Oleh itu, kelulusan kabinet perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2026, bersama atlet dan jurulatih di ibu negara.

Dalam pada itu, Jefri mengesahkan kerjasama antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan diteruskan, dengan MOTAC kekal sebagai antara penaja utama kejohanan berkenaan.

Mengulas mengenai penganjur, beliau menegaskan MSN bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut sekiranya diperlukan dan menegaskan isu penganjuran bukan satu masalah besar.

“MSN telah menganjurkan LTdL pada 2023, 2024 dan 2025 dan menerima pengiktirafan sebagai penganjur terbaik. Keutamaan sekarang adalah mendapatkan kelulusan peruntukan dan selepas itu kita bersedia menganjurkan kejohanan ini dengan kerjasama pihak berkaitan,” katanya.

Keputusan muktamad berhubung penganjuran LTdL akan dijangka diketahui selepas pertimbangan kabinet dalam tempoh terdekat.