Leckie, Italiano tersisih pusingan 32 terbaik Piala Dunia

foto REUTERS

OAKLAND, 27 Jun – Dua pemain Australia yang mengalami kecederaan, Mathew Leckie dan Jacob Italiano, disahkan terlepas baki kempen Piala Dunia menjelang pusingan 32 terbaik menentang Mesir, sekali gus menyaksikan Socceroos meneruskan saingan dengan hanya 24 pemain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mathew Leckie mengalami kecederaan hamstring, tidak diturunkan ketika seri tanpa jaringan dengan Paraguay.
  • Jacob Italiano mengalami kecederaan pangkal paha ketika sesi latihan dan terlepas aksi menentang Paraguay.
  • Socceroos mengucapkan terima kasih dan mendoakan agar kedua pemain cepat pulih.
  • Aziz Behich sahut sokongan, berkata pasukan yakin dan fokus untuk pertemuan kalah mati dengan Mesir pada 3 Julai.

Penyerang berpengalaman, Leckie, yang beraksi di Piala Dunia buat kali keempat, mengalami kecederaan hamstring ketika Australia tewas 0-2 kepada Amerika Syarikat dalam aksi Kumpulan D dan tidak diturunkan ketika seri tanpa jaringan dengan Paraguay pada Khamis.

Bek kanan, Italiano, yang beraksi menentang Turkiye dan Amerika Syarikat pula mengalami kecederaan pangkal paha ketika sesi latihan dan turut terlepas aksi menentang Paraguay.

“Jacob Italiano dan Mathew Leckie malangnya akan terlepas baki saingan Piala Dunia akibat kecederaan.

“Seluruh warga Football Australia dan Socceroos mendoakan agar Jacob dan Mathew segera pulih serta mengucapkan terima kasih atas sumbangan mereka sepanjang kempen ini,” menurut kenyataan Socceroos.

Kehilangan kedua-dua pemain itu merupakan tamparan buat ketua jurulatih, Tony Popovic, menjelang pertemuan dengan Mesir yang dibarisi Mohamed Salah di Dallas pada 3 Julai bagi merebut tempat ke pusingan 16 terakhir.

“Saya benar-benar dengan keadaannya,” kata pertahanan Australia, Aziz Behich, mengenai rakan sepasukannya di Melbourne City, Leckie.

“Tetapi itulah lumrah bola sepak. Dia mendoakan kejayaan kami semua dan berkata akan terus memberi sokongan. Dia telah memberikan segala-galanya untuk berada di sini dan membantu pasukan,” katanya.

Behich, yang mempamerkan aksi cemerlang di posisi bek sayap kiri ketika menentang Paraguay, berkata, keyakinan pasukan berada pada tahap tinggi menjelang pertemuan hidup mati menentang Mesir.

“Kami tahu apa yang ingin dicapai dan langkah pertama ialah melepasi peringkat kumpulan. Kami telah berjaya melakukannya.

“Kini kami akan fokus satu demi satu perlawanan. Saingan kalah mati sangat berbeza, tetapi semua pemain memahami cabaran itu. Kami penuh semangat, bertenaga dan teruja menghadapi perlawanan ini,” katanya. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.