JMR cipta sejarah, muncul juara CrowdStrike 24 Hours

Foto FB JOHOR Racing

BELGIUM, 29 Jun– Johor Motorsports Racing (JMR) mencipta sejarah apabila muncul pasukan Malaysia pertama menjuarai kategori Pro-Am dalam perlumbaan ketahanan berprestij CrowdStrike 24 Hours of Spa di Belgium.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan diraih menerusi gandingan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar, Jordan Love dan Ben Green.
  • Gandingan keempat-empat pelumba mempamerkan aksi konsisten sepanjang 24 jam dengan jentera Corvette Z06 GT3.R bernombor #0.
  • Strategi hentian pit tepat dan kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca menyumbang kepada kemenangan pasukan.
  • Jentera melengkapkan 531 pusingan pada litar 7.004 km; masa keseluruhan 24 jam satu minit 13.147 saat; pusingan terpantas 2:17.869.

Kejayaan itu diraih menerusi gandingan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Ibrahim, bersama Jordan Love dan Ben Green.

Tunku Abdul Rahman menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai hasil usaha seluruh pasukan yang tidak pernah berputus asa sepanjang perlumbaan.

“Kami berdepan beberapa cabaran pada awal perlumbaan, namun semua terus berjuang hingga ke garisan penamat. Ini penyertaan ketiga kami di Spa dan akhirnya berjaya muncul juara.

Saya amat bangga dengan seluruh pasukan dan rakan sepasukan yang bekerja keras untuk kejayaan ini,” katanya.

Gandingan keempat-empat pelumba itu mempamerkan aksi konsisten sepanjang perlumbaan 24 jam menerusi jentera Corvette Z06 GT3.R bernombor #0.

Strategi hentian pit yang tepat serta kemampuan pasukan menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca di Litar Spa-Francorchamps turut menyumbang kepada kemenangan tersebut.

Jentera JMR melengkapkan 531 pusingan di litar sepanjang 7.004 kilometer itu dengan catatan masa keseluruhan 24 jam, satu minit 13.147 saat.

Pasukan itu turut merekodkan masa terpantas satu pusingan, iaitu dua minit 17.869 saat dengan kelajuan purata 182.8 kilometer sejam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.