
SHAH ALAM, 7 September – Empat acara Para SUKMA Selangor 2026 yang terjejas akibat jerebu, Para Boling Padang, Para Memanah, Para Renang dan Para Olahraga, diteruskan hari ini dengan langkah pencegahan serta pemantauan berterusan.
- Semua atlet dan pegawai diwajibkan memakai pelitup muka N95 ketika berada di luar bangunan atau kenderaan.
- Atlet yang rentan tidak dibenarkan bertanding dan acara dibatalkan jika bacaan IPU mencapai 200.
- Tempoh pertandingan Para Olahraga dipendekkan kepada maksimum dua jam bagi setiap sesi.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026, Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan itu dicapai secara konsensus dalam mesyuarat ketua-ketua kontinjen bersama Jawatankuasa Khas Teknikal Para SUKMA.
“Antara langkah ditetapkan ialah semua atlet dan pegawai wajib memakai pelitup muka N95 ketika berada di luar bangunan atau kenderaan.
“Atlet yang rentan terhadap kesan jerebu juga tidak dibenarkan bertanding, manakala semua acara akan dibatalkan sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencapai 200.
“Bagi Para Olahraga, tempoh pertandingan dipendekkan kepada maksimum dua jam bagi setiap sesi,” katanya menerusi kenyataan.
Bacaan IPU di Shah Alam setakat pukul 11.00 pagi tadi ialah 169, manakala Klang merekodkan bacaan 161.
Kedua-dua kawasan itu berada pada tahap tidak sihat.