
ISKANDAR PUTERI, 8 April – Johor Darul Takzim (JDT) meluaskan agregrat mata terhadap KL City FC, selepas menewaskan kelab itu 4-1, pada perlawanan timbal balik Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.
- Bergson tebus penalti terlepas dengan dua gol pada minit ke-48 dan ke-58.
- Xisco kata JDT bermain lebih baik pada separuh masa kedua dan perlu perbaiki kelemahan serta kekal fokus.
- Arif Aiman kembali berlatih selepas kecederaan hamstring, tetapi belum dijangka sedia untuk Liga Juara-Juara Asia.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Xisco Munoz mara dengan agregat 8-1 dan bakal bertemu sama ada Selangor FC atau Kuching City FC yang akan menentukan slot ke final dalam aksi timbal balik di Stadium Negeri, Kuching, 18 April ini.
JDT dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-37, namun gagal disempurnakan Bergson Da Silva, yang menyepak tinggi kearah palang gol. 11 minit kemudian, Bergson menebus kesilapan beliau, menerusi tandukan ke gawang gol KL City FC, pada minit ke-48. Kesilapan bola muntah Hafizul Hakim, memberi peluang kepada Syahmi Safari untuk menjaringkan gol pada minit ke-51.
Bergson sekali lagi menjaringkan gol pada minit 58, sebelum Giancarlo Gallifuoco menjaringkan gol saguhati KL City pada minit ke-67. Pemain import JDT Ajdin Mujagic menjaringkan gol pengikat perlawanan, sekali gus menjadikan JDT memperoleh empat gol manakala, KL CITY FC satu.
Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz menyifatkan, JDT bermain lebih baik pada separuh masa kedua, kerana pasukan kehilangan sedikit rentak pada separuh masa pertama.
JDT juga komited, perbaiki kelemahan pada perlawanan itu, bagi memastikan kemenangan bersih tanpa dibolosi. Perlawanan seterusnya menentang Terengganu, dilihat cabaran dari aspek persediaan, kerana JDT harungi banyak perlawanan, dalam tempoh singkat.
“JDT perlu bersiap sedia dan memeberikan fokus terbaik untuk perlawanan seterusnya. Ia penting demi mencapai matlamat sama seperti sebelum ini.
“Dengan kekuatan dan kesungguhan kami semasa perlawanan, ia amat penting untuk JDT memberikan aksi baik, perlawanan baik, kerana ia perlawanan sebelum Liga Juara-Juara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan menentang KL CITY FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.
Selain itu, Xisco turut memaklumkan bahawa Arif Aiman yang sebelum ini direhatkan kerana kecederaan ‘hamstrings‘, kini kembali menyertai latihan bersama Harimau Selatan.
Bagaimanapun, Xisco menolak kemungkinan penyerang sensasi itu mampu beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite dalam masa terdekat.