Jazeman Jaafar dilantik Bendahari baharu MAM

Jazeman Jaafar dilantik sebagai bendahari baharu Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), berkuat kuasa serta-merta

KUALA LUMPUR, 8 April – Pelumba profesional negara, Jazeman Jaafar dilantik sebagai Bendahari baharu Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), berkuat kuasa serta-merta, menurut kenyataan MAM.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggantian Datuk Razlan sebagai bendahari dilihat langkah strategik dan MAM merakamkan penghargaan atas sumbangan serta kepimpinan beliau.
  • Jazeman memiliki kejayaan antarabangsa: podium Monaco 2015, naib juara British F3, kemenangan WEC, empat tahun sebagai Development Driver Mercedes-AMG.
  • Pelantikan mencerminkan komitmen MAM memperkukuh kepimpinan dan perspektif baharu bagi memajukan sukan permotoran negara.

Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Razlan Razali dan dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh struktur kepimpinan organisasi menerusi gabungan kepakaran profesional serta pengalaman luas dalam industri sukan permotoran.

MAM menerusi satu kenyataan memaklumkan, Jazeman merupakan antara pelumba kereta profesional Malaysia yang telah mencipta nama di peringkat antarabangsa, khususnya dalam perlumbaan ketahanan (endurance).

“Sepanjang kerjayanya, beliau melakar pelbagai kejayaan membanggakan termasuk meraih podium di Monaco pada 2015 dalam saingan Formula Renault 3.5, muncul naib juara British Formula 3 International Series serta mencatat kemenangan dalam FIA World Endurance Championship (WEC) bersama pasukan Jackie Chan DC Racing.

“Jazeman juga pernah berkhidmat sebagai Pelumba Pembangunan (Development Driver) bagi pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One Team selama empat tahun, sekali gus memperkukuh kredibiliti di peringkat tertinggi sukan permotoran dunia,” menurut kenyataan MAM.

Pelantikan tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan MAM dalam memperkukuh barisan kepimpinan menerusi gabungan pengalaman industri dan perspektif baharu, selaras usaha memajukan sukan permotoran negara ke tahap lebih tinggi.

Dalam pada itu, MAM turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Razlan atas sumbangan dan komitmen sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Bendahari.

“Kepimpinan serta pengalaman luas Razlan dalam industri sukan permotoran memainkan peranan penting dalam memperkukuh tadbir urus kewangan serta menyokong pembangunan strategik organisasi,” menurut MAM.