Impian terhenti, Harimau Malaya tetap pamer semangat juang tinggi – Cklamovski

Skuad Harimau Malaya mempamerkan semangat juang yang tinggi walaupun sudah tidak layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 – Malaysia NT

KUALA LUMPUR, 1 April – Meskipun tewas kepada Vietnam dalam perlawanan terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, skuad Harimau Malaya tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua jurulatih Peter Cklamovski bangga dengan usaha dan persembahan pemain sepanjang perlawanan.
  • Keputusan luar padang, termasuk hukuman AFC, meranapkan peluang Malaysia mara ke Piala Asia 2027.
  • Mentaliti, fokus dan keazaman pemain dibanggakan sementara kegagalan menumpaskan beberapa peluang mengubah rentak perlawanan.

Ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski berbangga dengan permainan ditunjukkan anak buahnya.

Pengendali dari Australia itu berkata, Malaysia sememangnya layak untuk mara berdasarkan merit, namun faktor di luar padang telah menjejaskan peluang pasukan.

Ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski berbangga dengan permainan ditunjukkan skuad Harimau Malaya – Malaysia NT

“Berdasarkan merit di atas padang, kami berhak untuk layak, namun faktor di luar padang yang mengecewakan kami.

“Melihat bagaimana prestasi mereka bermain dan berjuang malam ini di tempat lawan, di hadapan penonton yang ramai, saya sungguh berbangga dengan mereka.

“Mereka berjuang untuk diri, keluarga, dan negara serta generasi akan datang. Mereka benar-benar memberikan inspirasi untuk Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Penyokong Harimau Malaya yang hadir ke stadium Thien Truong, Nam Dinh, Vietnam – Malaysia NT

Terdahulu dalam aksi di stadium Thien Truong, Nam Dinh, Vietnam pada Selasa, Malaysia tumpas 1-3 kepada tuan rumah.

Menurut Cklamovski, situasi yang dihadapi pasukannya selama enam bulan ini adalah sesuatu yang jarang berlaku dalam bola sepak.

Beliau berkata, mentaliti, fokus dan keazaman yang ditunjukkan kesemua pemain benar-benar membanggakannya.

Malaysia tewas 1-3 kepada Vietnam dalam perlawanan terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 – Malaysia NT

Menurutnya, sebagai satu pasukan, mereka bekerja keras dan berjaya mencari detik untuk memberi tekanan kepada Vietnam, namun kegagalan menyempurnakan peluang gol telah mengubah permainan.

“Pada separuh masa pertama, kami mencipta beberapa peluang yang amat baik untuk menyamakan kedudukan 1-1.

“Itu akan menjadi detik yang mengubah perlawanan, tetapi kredit untuk Vietnam kerana memanfaatkan peluang mereka dan pemain dari Brazil telah memberikan impak yang baik,” katanya.

Skuad Harimau Malaya memberikan penghargaan kepada penyokong Malaysia yang hadir ke stadium – Malaysia NT

Vietnam menamatkan saingan dengan menduduki tempat teratas kumpulan dengan mengumpul 18 mata, manakala Malaysia di tempat kedua dengan sembilan mata dan Laos di tempat ketiga dengan enam mata, diikuti Nepal di tempat keempat dengan tiga mata.

Harapan Malaysia untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi musnah selepas menerima hukuman daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC pada 17 Mac lalu membuat keputusan bahawa Harimau Malaya diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 bagi aksi pusingan pertama menentang Vietnam dan Nepal, sebelum ini.