Impian Harimau Malaya ke Piala Asia 2027 mungkin terkubur

Keputusan CAS gugat harapan Malaysia ke Piala Asia 2027 – FB FAM

KUALA LUMPUR, 6 Mac Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan dijangka beri kesan besar kepada masa depan skuad Harimau Malaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hukuman FIFA kekal, berpotensi membatalkan dua kemenangan Malaysia dan menjejaskan peluang ke Piala Asia 2027.
  • AFC dijangka rujuk kes ke Jawatankuasa Disiplin dan Etika, mungkin menukar keputusan kepada kekalahan 0-3.
  • Insiden ini jadi pengajaran; sistem pentadbiran bola sepak perlu diperbaiki sementara penyokong kecewa.

Keputusan mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini akan menjejaskan kempen kelayakan Piala Asia 2027.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, keputusan tersebut berpotensi menjejaskan status penyertaan Malaysia dalam saingan kelayakan apabila dua kemenangan skuad kebangsaan mungkin dibatalkan.

Menurutnya, keadaan itu boleh berubah sekiranya Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengambil tindakan lanjut susulan keputusan CAS.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli – FB Pekan Ramli

“Kemungkinan besar akan melibatkan status penyertaan dalam saingan kelayakan piala asia 2027.

“Harimau Malaya yang kita tahu sedang mendahului Kumpulan F dan peluang cerah untuk layak ke pusingan akhir.

“Tetapi kini berdepan kemungkinan besar impian itu akan berkubur walaupun kita masih mempunyai satu lagi baki perlawanan menentang Vietnam hujung bulan ini,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berkata, keputusan itu pastinya akan mengecewakan penyokong bola sepak tanah air yang sebelum ini menyaksikan kebangkitan skuad kebangsaan.ebangkitan skuad kebangsaan.

Penyokong Harimau Malaya pasti kecewa jika skuad negara gagal ke Piala Asia – BERNAMA

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan hukuman yang dikenakan itu perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak dalam usaha memperbaiki sistem pentadbiran bola sepak negara.

“Kesalahan sivil atau jenayah ia adalah satu proses keinsafan untuk bertaubat dan bertekad perbaiki diri.

“Jadi lupakan segala ego diri, insaflah dan marilah kita bersama-sama kembali membangunkan rumah yang hampir runtuh ini,” katanya.

Menurutnya, kemenangan FIFA dalam kes tersebut turut memberi kesan kepada imej negara di peringkat antarabangsa kerana ia memperlihatkan berlakunya pelanggaran serius melibatkan dokumen rasmi.

Nasib Harimau Malaya kini ditangan AFC – BERNAMA

Kes berkenaan juga dijangka dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC bagi menentukan tindakan lanjut terhadap FAM.

“Keputusan yang telah diputuskan oleh cas ini dan kita akan beralih tumpuan kepada AFC yang kemungkinan saya jangkakan AFC sudah ada kerangka hukumannya.

Cuma menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkannya berdasarkan kepada peraturan sedia ada dan merujuk kepada kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Berdasarkan rekod kes terdahulu, AFC berkemungkinan mengambil pendekatan sama seperti FIFA dengan membatalkan keputusan beberapa perlawanan melibatkan Malaysia.

Kemenangan Malaysia sebelum ini mungkin bertukar kepada kekalahan 0-3 – BERNAMA

Sekiranya itu berlaku, kemenangan Harimau Malaya ke atas Nepal (2-0) dan Vietnam (4-0) dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 berpotensi ditukar kepada kekalahan 0-3.

Situasi itu sekali gus boleh menamatkan peluang skuad kendalian Peter Cklamovski untuk mara ke pusingan akhir kejohanan berkenaan.

Setakat ini, keputusan rasmi daripada AFC masih belum diumumkan dan peminat bola sepak tanah air terus menantikan perkembangan lanjut berhubung kes tersebut.