
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Pasukan bola sepak kebangsaan akan turun dengan misi memburu kemenangan pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Thien Truong, Ninh Binh pada 31 Mac ini.
- Harimau Malaya mahu menang setiap perlawanan untuk kutip mata FIFA dan memperbaiki kedudukan ranking
- Persiapan berada pada tahap positif dengan pemain menunjukkan komitmen tinggi selepas kembali berkumpul
- Pengalaman beraksi di ACL2 dianggap kelebihan tambahan meskipun kemenangan tidak mampu menukar nasib kelayakan
Pemain pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting berkata setiap perlawanan membawa kepentingan tersendiri, khususnya dalam usaha mengutip mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi memperbaiki kedudukan pasukan di pentas dunia.
“Kami mahu menang setiap perlawanan. Sudah tentu, ia mungkin tidak penting untuk mengutip mata dan kelayakan dan semua perkara itu.
“Tetapi masih ada mata FIFA untuk dimenangi dan kami mahu mengumpul mata itu semula untuk memperbaiki semula ranking,” katanya menerusi video dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada media pada Rabu.
Beliau berkata persiapan pasukan ketika ini berada pada tahap positif, dengan semua pemain menunjukkan komitmen tinggi selepas kembali berkumpul bagi menghadapi perlawanan itu.
“Ya, saya rasa baik, bagus. Seperti yang saya katakan, kami sudah beberapa bulan tidak mengadakan latihan bersama. Jadi, saya sudah lama tidak berjumpa dengan ramai pemain, saya gembira melihat semua rakan-rakan sepasukan.
“Saya rasa walaupun dengan situasi mata, sudah tentu anda sentiasa mahu menang setiap kali bermain untuk negara dan semua orang gembira untuk mewakili negara mereka, jadi hanya suasana positif yang dapat saya katakan,” katanya.
Pada masa sama, pemain Ratchaburi FC itu berkata pengalaman beraksi pada saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menjadi kelebihan tambahan yang mampu membantu meningkatkan tahap permainan pasukan.
Skuad negara kini menjalani sesi latihan di Bangkok, Thailand sehingga 27 Mac ini sebelum menghadapi perlawanan menentang Vietnam, meskipun kemenangan pada perlawanan itu tidak mampu mengubah hakikat bahawa Malaysia sudah tidak layak.-BERNAMA