Harimau Malaya perlu buktikan kualiti sebenar

Pemain skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 MAC — Aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam wajib dijadikan medan membuktikan kemampuan skuad Harimau Malaya bagi menangkis segala kritikan berkaitan kualiti pasukan negara ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlawanan perlu dijadikan pentas membuktikan kombinasi pemain tempatan, naturalisasi dan warisan masih mampu bersaing di peringkat tinggi.
  • Walaupun tidak berpeluang mara, perlawanan ini penting untuk tunjukkan kemampuan sebenar dan menangkis kritikan.
  • Kekuatan mental dan semangat juang perlu diperkasa, termasuk sokongan psikologi sukan untuk pulihkan keyakinan pemain.
  • Keputusan seri dianggap pencapaian realistik; kemenangan ialah bonus besar dan bukti kualiti pasukan.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli menegaskan, perlawanan tersebut adalah platform terbaik untuk menunjukkan bahawa kombinasi pemain tempatan, naturalisasi, dan warisan sedia ada masih mampu bersaing di peringkat tertinggi.

“Walaupun Malaysia sudah tiada peluang mara, perlawanan ini perlu dijadikan pentas untuk membuktikan kemampuan sebenar skuad Harimau Malaya. Tanpa isu pemain warisan yang dipersoalkan, barisan pemain sekarang masih mampu mencatat kemenangan,” katanya.

Datuk Pekan juga menekankan kepentingan kekuatan mental dan semangat juang pemain bagi menghadapi tekanan, kritikan dan provokasi daripada lawan.

Beliau mencadangkan sokongan daripada pakar psikologi sukan bagi memulihkan keyakinan pemain, menukar tekanan kepada motivasi dan memastikan pemain tidak berasa rendah diri di gelanggang lawan.

“Ini perlawanan ‘nothing to lose’, tetapi peluang untuk membuktikan bahawa pasukan ini masih berdaya saing. Pemain perlu bangkit dengan semangat juang tinggi,” katanya.

Rekod pertemuan menentang Vietnam sebelum ini memang mencabar, namun Datuk Pekan percaya jurang prestasi kedua-dua pasukan tidak besar.

Dengan kombinasi pemain yang ada, Harimau Malaya berpotensi memberikan cabaran sengit menentang Vietnam.

“Prestasi pasukan di Asia Tenggara sebenarnya hampir setara. Dengan barisan pemain sekarang, Malaysia mampu memberi cabaran sengit kepada Vietnam,” jelasnya.

Dalam konteks sasaran realistik, Datuk Pekan menyifatkan keputusan seri sudah memadai sebagai pencapaian positif.

Manakala kemenangan pula dianggap sebagai satu kejayaan besar yang bukan sahaja memberi kepuasan pasukan, tetapi juga membalas kritikan dan provokasi yang timbul sebelum ini.

“Secara realistik, seri sudah cukup baik. Tetapi jika kita berjaya menang, itu bonus besar dan bukti skuad ini masih ada kualiti,” katanya.