
PARIS, 15 Mac – Perlumbaan Formula One (F1) di Bahrain dan Arab Saudi dibatalkan susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat, menurut pengumuman badan induk sukan permotoran dunia, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), pada Sabtu.
- FIA memutuskan tiada perlumbaan gantian pada April selepas pertimbangan teliti dan rundingan dengan Formula One Group serta penganjur tempatan.
- Keputusan dibuat atas faktor keselamatan akibat serangan dron dan peluru berpandu serta ketegangan di Teluk, termasuk sasaran infrastruktur dan pangkalan.
- Perlumbaan Formula 2, Formula 3 dan F1 Academy di lokasi sama turut dibatalkan; WEC Qatar ditangguh ke Oktober.
Dalam satu kenyataan, FIA memaklumkan selepas penilaian teliti dibuat, kedua-dua perlumbaan berkenaan yang dijadual berlangsung pada April tidak dapat diteruskan berikutan situasi keselamatan di rantau itu.
“Beberapa alternatif telah dipertimbangkan, namun akhirnya diputuskan tiada perlumbaan gantian akan diadakan pada bulan tersebut,” menurut kenyataan itu.
FIA berkata keputusan berkenaan dibuat hasil perbincangan bersama Formula One Group, penganjur tempatan serta kelab ahli di rantau berkenaan.
Grand Prix Bahrain sebelum ini dijadual menjadi perlumbaan keempat musim ini dari 10 hingga 12 April, manakala Grand Prix Arab Saudi dijadual berlangsung seminggu kemudian.
Situasi keselamatan di rantau Teluk semakin tegang susulan dua minggu serangan dron dan peluru berpandu oleh Iran selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan perang terhadap negara itu.
Bahrain yang terletak berhampiran Iran turut menjadi sasaran beberapa serangan, termasuk yang merosakkan bangunan, kilang penapisan minyak serta pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara tersebut.
Arab Saudi juga berdepan beberapa siri serangan, termasuk yang menyasarkan infrastruktur minyak yang menjadi nadi kepada eksport minyak mentah terbesar dunia.
Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem berkata keselamatan semua pihak sentiasa menjadi keutamaan badan itu.
“FIA sentiasa meletakkan keselamatan dan kesejahteraan komuniti serta rakan kerja sebagai keutamaan.
“Selepas pertimbangan teliti, keputusan ini dibuat dengan mengambil kira tanggungjawab tersebut,” katanya.
Beliau turut berharap situasi di rantau itu kembali tenang dalam masa terdekat dan menyifatkan Bahrain serta Arab Saudi sebagai destinasi penting dalam kalendar perlumbaan F1.
Susulan pembatalan tersebut, perlumbaan Formula 2, Formula 3 dan F1 Academy yang dijadual berlangsung di Bahrain dan Arab Saudi turut dibatalkan.
Sementara itu, negara jiran Qatar yang turut menjadi sasaran serangan menyaksikan pusingan pertama Kejohanan Endurance Dunia (WEC) yang dijadual dari 26 hingga 28 Mac ditangguhkan ke bulan Oktober. – AFP