
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) menyasarkan sekurang-kurangnya enam pingat emas pada Sukan SEA 2027 yang akan dianjurkan Malaysia.
- EAM menyasarkan sekurang-kurangnya enam pingat emas pada Sukan SEA 2027 di Malaysia.
- EAM akan mencadangkan tujuh acara termasuk show jumping, dressage, eventing dan endurance.
- Cabaran utama ialah mendapatkan kuda berkualiti setanding dengan pasukan lain seperti Thailand.
- Sasaran juga termasuk dua emas di Sukan Asia Aichi Nagoya 2026 melalui Megan Ding dan Shoorendran.
Setiausaha Kehormat EAM, Datuk Mejar (B) Yap Mou Soon berkata, sasaran itu realistik memandangkan pihaknya merancang untuk memasukkan acara endurance pada temasya tersebut.
“Skuad ekuestrian sentiasa membawa pulang pingat setiap kali beraksi di luar negara dan kami berharap dapat mengulangi pencapaian itu di laman sendiri.
“Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kami pada Sukan SEA Malaysia adalah untuk memenangi enam pingat emas,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Bukit Jalil, hari ini.
Menurut Datuk Mou Soon, EAM akan mencadangkan tujuh acara untuk dipertandingkan iaitu show jumping (berpasukan dan individu), dressage (berpasukan dan individu), eventing (berpasukan dan individu) serta endurance yang tertakluk kepada kelulusan jawatankuasa penganjur.
Beliau berkata cabaran utama bagi merealisasikan genggaman pingat emas itu adalah bagi mendapatkan kuda yang berkualiti.
“Kuda juga adalah atlet. Negara seperti Thailand kini menggunakan kuda yang sangat mahal, jadi kita juga perlu meningkatkan tahap dalam aspek ini,” katanya.
EAM dalam pada itu menyasarkan dua pingat emas di Sukan Asia Aichi Nagoya 2026 yang akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
“Kami berharap dapat memenangi satu emas menerusi acara dressage individu dan satu lagi emas dalam acara show jumping individu,” katanya.
Harapan negara itu disandarkan kepada Megan Ding (dressage) dan Shoorendran Nageswaran (show jumping). – BERNAMA