
PRAGUE, 22 Januari – Saingan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi menyaksikan Barcelona mencatat kemenangan penting apabila menewaskan Slavia Praha dalam perlawanan yang berlangsung di Republik Czech.
- Fermín López menyamakan kedudukan pada minit ke-34 dengan rembatan deras dari dalam kotak penalti.
- López menggandakan golnya pada minit ke-42 menerusi percubaan dari luar kotak penalti.
- Dani Olmo menjaringkan gol ketiga untuk memberikan kelegaan kepada Barcelona pada babak kedua.
- Lewandowski memastikan kemenangan dengan gol keempat, mengangkat Barca ke tangga kesembilan dengan 13 mata.
Aksi penuh dramatik itu menyaksikan enam jaringan terhasil.
Barcelona bangkit dengan penuh bergaya untuk menewaskan Slavia Praha 4-2 di Fortuna Arena, awal pagi tadi.
Tuan rumah terlebih dahulu mencipta kejutan apabila mendahului seawal minit ke-10 hasil jaringan Vasil Kusej.
Namun Barca berjaya bangkit, apabila Fermin Lopez menyamakan kedudukan pada minit ke-34 menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti, sebelum dia menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-42 hasil percubaan dari luar kotak penalti.
Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Praha kendalian Jindřich Trpisovsky menyamakan kedudukan beberapa minit sebelum rehat apabila bola sepakan penjuru terkena bahu Robert Lewandowski dan menerjah gawang sendiri.
Memasuki babak kedua, Barca memperkemaskan corak permainan.
Gol ketiga hasil penyudah Dani Olmo memberikan kelegaan kepada pasukan pelawat, sebelum Lewandowski memastikan kemenangan dengan jaringan keempat.
Kemenangan itu melonjakkan Barcelona ke tangga kesembilan pada 13 mata, berkongsi jumlah mata dengan tujuh pasukan lain yang bersaing sengit memburu kelompok lapan terbaik dan tiket automatik ke pusingan 16 terakhir. -AFP