
MADRID, 20 Februari – Real Madrid telah mengemukakan bukti kepada badan pentadbir UEFA berhubung dakwaan penyerang mereka Vinicius Jr dihambur kata-kata kesat berbaur perkauman oleh pemain sayap Benfica, Gianluca Prestianni.
- Real Madrid menyerahkan semua bukti berkaitan insiden itu kepada UEFA untuk disiasat.
- Perlawanan ditangguhkan 11 minit selepas tuduhan kata-kata kesat berbaur perkauman.
- Benfica sokong pemainnya; UEFA lantik pegawai etika dan disiplin menyiasat dakwaan.
Insiden berlaku pada perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Juara Eropah di Portugal, Rabu lalu, yang menyaksikan Real merakamkan kemenangan 1-0 menentang Benfica.
Perlawanan itu ditangguhkan selama 11 minit selepas Vinicius menuduh Prestianni menggunakan kata-kata kesat.
Prestianni menafikan dakwaan tersebut, dengan mengatakan Vinicius “salah faham terhadap apa yang didengarinya”.
Benfica memaklumkan mereka menyokong pemain sayap berkenaan ketika UEFA melantik pegawai etika dan disiplin untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
“Real Madrid C.F. mengumumkan bahawa ia telah memberikan UEFA semua bukti yang ada mengenai insiden terbabit,” menurut Real dalam satu kenyataan.
Gergasi Sepanyol itu berkata mereka menghargai sokongan yang diterima Vinicius sejak insiden tersebut.
“Real Madrid akan terus bekerjasama dengan semua institusi untuk membasmi perkauman, keganasan dan kebencian dalam sukan dan masyarakat,” tambah kelab itu.
Benfica akan berkunjung ke Real untuk perlawanan kedua Rabu depan. – REUTERS