CAS benarkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya kembali beraksi

Foto FB Football Association of Malaysia

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah membenarkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung sebelum ini untuk beraksi semula, menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

RINGKASAN BERITA AI
  • CAS membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
  • Pemain dibenarkan beraksi dan menyertai aktiviti bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan CAS.
  • FIFA sebelum ini mengenakan penggantungan 12 bulan dan denda terhadap pemain serta denda besar ke atas FAM.

FAM dalam kenyataan memaklumkan, ini setelah CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan yang dikemukakan oleh tujuh pemain berkenaan.

“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain Harimau Malaya tersebut ditangguhkan buat sementara waktu.

“Mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat,” menurut FAM dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Mereka adalah Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.

FIFA sebelum ini mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,560) terhadap tujuh pemain warisan berkenaan.

Hukuman itu dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas mereka didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen dengan FAM dikenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta).

Pada 3 Nov lepas, FIFA menolak rayuan oleh FAM dan tujuh pemain warisan itu serta mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk bola sepak dunia itu terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berkenaan.

Susulan itu, FAM membawa kes itu ke CAS.- BERNAMA