
YANBU, 17 Januari – Pelumba Argentina, Luciano Benavides, menjuarai kategori motosikal Rali Dakar 2026 dengan kelebihan keseluruhan dua saat selepas tamat peringkat akhir di Arab Saudi, hari ini.
- Luciano Benavides menjuarai kategori motosikal Rali Dakar 2026 dengan kelebihan keseluruhan hanya dua saat.
- Kemenangan itu menjadikan Benavides keluarga juara Dakar bersama abangnya, Kevin, pemegang gelaran 2021 dan 2023.
- Ricky Brabec hampir menang tetapi tersilap laluan di peringkat akhir menyebabkan kehilangan gelaran.
Kedudukan kedua pada peringkat ke-13 sudah memadai buat pelumba KTM berusia 30 tahun itu untuk menafikan cabaran juara dua kali dari Amerika Syarikat, Ricky Brabec, sekali gus merangkul gelaran Dakar sulungnya.
“Ia adalah impian seumur hidup saya,” kata Benavides selepas kejayaan bersejarah itu.
Beliau turut mencatat sejarah keluarga apabila menyertai abangnya, Kevin Benavides, yang pernah menjuarai Rali Dakar pada 2021 dan 2023.
“Ini penyertaan kesembilan saya di Dakar dan kemenangan pertama. Abang saya menang dengan kelebihan 43 saat, saya pula dengan dua saat. Ia benar-benar satu impian yang menjadi kenyataan,” katanya
Sementara itu, Brabec juara edisi 2020 dan 2024 hampir meraih gelaran ketiga sebelum kehilangan masa akibat tersilap laluan berhampiran garisan penamat perlumbaan sejauh 105 kilometer sekitar Yanbu.
Saingan peringkat terakhir ini dimenangi Pelumba Sepanyol, Edgar Canet, manakala rakan senegaranya Tosha Schareina menamatkan saingan di tempat ketiga serta turut meraih kedudukan keseluruhan ketiga. – AFP