
BERGAMO, 11 Mac – Bayern Munich berpesta gol menewaskan Atalanta 6-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
- Bayern mendominasi awal perlawanan dengan tiga gol dalam 25 minit, menyebabkan Atalanta sukar mencari rentak.
- Michael Olise tonggak serangan Bayern, menjaringkan dua gol pada minit ke-22 dan ke-64.
- Gnabry, Stanisic, Nicolas Jackson dan Jamal Musiala turut menyumbang jaringan; Pasalic hanya gol saguhati.
Bagi Pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany, semua pemain telah mempamerkan aksi terbaik terutama di bahagian serangan.
“Mereka bermain habis-habisan, dan apabila kami berdepan Atalanta, ini bukan kali pertama bagi kami.
“Kami sudah bersiap selama 18 bulan, jadi ia mungkin kurang mengejutkan bagi kami berbanding pasukan lain yang jarang menghadapi situasi sebegini,” katanya.
Dalam saingan yang berlangsung di Gewiss Stadium, Bergamo, Itali menyaksikan pelawat mendahului dengan tiga gol dalam 25 minit pertama sekali gus menyebabkan pasukan tuan rumah sukar mencari rentak perlawanan.
Tiga gol tersebut membolehkan Bayern mendominasi permainan dengan baik selain tidak berdepan masalah bermain dengan corak serangan yang lancar.
Bayern dilihat mengawal tempo permainan sepanjang perlawanan, dengan Michael Olise menjadi tonggak serangan dan menjaringkan dua gol pada minit ke-22 dan ke-64.
Josip Stanisic, Serge Gnabry dan Nicolas Jackson turut menyumbang jaringan sebelum Jamal Musiala menamatkan aksi dengan tandukan tepat dari jarak dekat pada minit ke-67.
Mario Pasalic menjaringkan gol saguhati untuk Atalanta ketika masa kecederaan, namun tidak mampu mengubah keadaan.
Kedua-dua pasukan dijadual bertemu semula pada 19 Mac ini di Allianz Arena bagi aksi timbal balik. – REUTERS