
KUALA LUMPUR, 11 Januari – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka mengumumkan pelantikan enam jurulatih baharu Selasa ini yang menjadi sebahagian daripada usaha penstrukturan semula kejurulatihan kebangsaan.
- Enam jurulatih baharu akan dilantik sebagai sebahagian penstrukturan semula kejurulatihan kebangsaan.
- Keutamaan diberikan kepada jurulatih tempatan, dengan Datuk Tey Seu Bock kembali membimbing skuad utama.
- BAM merancang menyerap pemain muda 16–17 tahun ke dalam skuad senior untuk pembangunan jangka panjang.
Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei, yang memaklumkan langkah berkenaan juga bertujuan memperkukuh pembangunan pemain di semua peringkat, khususnya skuad senior dan pelapis.
Menurut beliau, keutamaan pelantikan akan diberikan kepada jurulatih tempatan, selari dengan hala tuju BAM untuk memperkasa bakat dalam negara dengan Datuk Tey Seu Bock antara nama yang disahkan kembali membimbing skuad utama dan akan bekerjasama dengan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen.
“Coach Seu Bock, orang nampak memang dalam kejohanan (Terbuka Malaysia 2026) kali ini dia duduk di belakang (gelanggang). Saya rasa perkara ini kita tidak boleh sembunyikan daripada pihak media dan saya boleh sahkan beliau akan naik ke senior.
“Perkara ini telah dibincangkan bersama Kenneth Jonassen kerana beliau mahu coach Seu Bock keluar semula ke pasukan kebangsaan untuk bantu beliau dan bekerjasama dengan beberapa jurulatih lain,”katanya ketika ditemui pada kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di sini.
Tambah legenda badminton negara itu, pengalaman luas Seu Bock, termasuk peranannya dalam membentuk kejayaan pemain sebelum ini menjadi nilai tambah penting kepada struktur baharu kejurulatihan negara.
Selain pelantikan jurulatih, BAM turut merancang menyerap pemain muda berusia 16 hingga 17 tahun yang dikenal pasti berpotensi dalam skuad senior, merangkumi kedua-dua kem perseorangan dan beregu, sebagai sebahagian perancangan jangka panjang badminton negara.
Pengumuman rasmi berhubung struktur kejurulatihan baharu itu akan umumkan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.