
KUALA LUMPUR, 24 Februari – Pembangun permainan antarabangsa, MOONTON Games bersama Malaysia Esports Federation (MESF) dan Esports Integrated (ESI) hari ini mengumumkan lapan pasukan yang akan beraksi dalam Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia (MPL Malaysia) menerusi Program Perkongsian baharu liga berkenaan.
- Program Perkongsian MPL Malaysia melibatkan lapan pasukan tempatan dan antarabangsa untuk musim ke-17.
- Inisiatif bertujuan meningkatkan persaingan, kualiti pertandingan dan memperkukuh ekosistem esports negara.
- Pemilihan pasukan melalui penilaian ketat menekankan komitmen jangka panjang serta keupayaan organisasi.
Pengumuman itu menandakan permulaan musim paling dinanti-nantikan dengan gabungan pasukan tempatan dan antarabangsa bagi membentuk hala tuju baharu liga e-sukan terbesar negara.
Lapan pasukan yang diumumkan ialah Selangor Red Giants, Team Vamos, Team Rey, Rex Regum Qeon, Bigetron MY by VIT, All Combo, Invictus Gaming dan Team Flash.
Ketua Pembangunan Perniagaan Esports Malaysia MOONTON Games, Krystal Tan berkata Program Perkongsian itu merupakan langkah perintis yang bukan sahaja meningkatkan tahap persaingan MPL Malaysia, malah memperkukuh kedudukan negara di peta e-sukan global.
Jelas beliau, dengan menghimpunkan pasukan tempatan dan antarabangsa, inisiatif itu bukan sekadar meningkatkan standard pertandingan, malah membina ekosistem yang lebih kukuh untuk meletakkan Malaysia di pentas e-sukan dunia.
“Ini adalah peluang untuk mempertingkatkan kualiti saingan dan memberi inspirasi kepada generasi baharu pemain,” katanya.
Menurutnya, pemilihan lapan pasukan berkenaan dibuat menerusi proses penilaian ketat yang mengambil kira komitmen jangka panjang, keupayaan organisasi, pengurusan pasukan serta keserasian dengan visi pembangunan ekosistem esports Malaysia.
Sementara itu, Presiden MESF, Muhammad Naim Al-Amin Saharudin menyifatkan penubuhan Program Perkongsian itu sebagai pencapaian penting dalam landskap esports negara.
“Inisiatif ini mampu mempercepat pertumbuhan ekosistem e-sukan, membuka lebih banyak peluang dan pengalaman kepada organisasi pasukan khususnya pasukan tempatan, selain memberi impak positif kepada atlet,” katanya.
Tambahnya, usaha itu selari dengan visi untuk meletakkan Malaysia sebagai kuasa besar esports serta memastikan pembangunan ekosistem yang lebih mampan pada masa hadapan.
Program berkenaan turut dijangka membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada belia tempatan serta memberi impak positif kepada ekonomi dan pembangunan bakat esports negara.
Menerusi pengesahan lapan pasukan rakan strategik serta pengenalan struktur jangka panjang baharu, MPL Malaysia kini melangkah ke musim ke-17 dengan momentum segar, sekali gus menandakan era baharu dalam perjalanan e-sukan tanah air.